KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengambil langkah lebih agresif bagi memastikan perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, yang dijadual dilaksanakan bermula Ahad ini, dipatuhi oleh semua pihak.
Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh, berkata langkah ini amat penting, terutama dalam memastikan pembukaan saluran bantuan kemanusiaan berdasarkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Majlis Keselamatan PBB.
Beliau berkata meskipun rundingan fasa awal gencatan senjata itu telah dipersetujui dan disambut baik banyak pihak, namun pelaksanannya yang melibatkan pengunduran tentera Israe berperingkat dari Semenanjung Gaza serta pembebasan tebusan Israel oleh Hamas, pastinya mencabar.
"Saya mohon Kerajaan Malaysia memainkan peranan aktif dalam hal ini dengan mendesak dan bekerjasama dengan PBB.
"Gencatan senjata ini telah lama tertunggak. Malah rakyat Palestin telah ditindas berpuluh tahun lamanya. Peperangan telah mengorbankan puluhan ribu rakyat Palestin dan mengakibatkan jutaan kehilangan tempat tinggal akibat kerakusan genosid dan kegilaan rejim zionis Israel untuk kononnya mempertahankan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin, mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas bagi pembangunan semula Palestin dan Gaza.
Beliau berkata ini selaras dengan sokongan Malaysia terhadap inisiatif Jepun menganjurkan Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
"Jawatankuasa itu boleh bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, pakar-pakar sektor penting seperti pembinaan, pendidikan, kesihatan dan ekonomi," katanya, sambil menzahirkan harapan agar rundingan dan perjanjian gencatan senjata berjalan lancar.
Ahli Parlimen Ledang itu turut mengulangi pendirian kaukus itu bahawa tindakan kejam rejim zionis Israel termasuk pelanggaran terang-terangan terhadap pelbagai resolusi, kesepakatan dan tuntutan, wajib dipertanggungjawabkan.
"Selain ICJ dan ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa), saya menggesa Kerajaan Malaysia menyegerakan inisiatif untuk menyingkirkan negara pengganas Israel daripada PBB," katanya.
-- BERNAMA