Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA,16 Jan (Bernama) -- Singapura berharap Malaysia akan memajukan agenda kemampanan rantau ini di bawah Kepengerusian ASEAN pada tahun ini, kata Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.
Beliau berkata ini boleh dicapai dengan mewujudkan infrastruktur yang diperlukan, rangka kerja kawal selia dan sokongan kewangan untuk peralihan tenaga boleh diperbaharui.
"Kemampanan adalah keutamaan utama bagi ASEAN kerana Asia Tenggara sangat terdedah kepada perubahan iklim, yang terbukti dengan bencana seperti Taufan Yagi pada 2024.
"Kami akan bekerjasama ke arah penubuhan Grid Kuasa ASEAN, batu asas untuk masa depan yang mampan," katanya kepada Bernama dalam temu bual bertulis sempena Mesyuarat Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang akan datang.
Menyatakan keyakinan penuh dan komitmen Singapura terhadap Kepengerusian Malaysia, Balakrishnan berkata negara itu juga berharap dapat melihat penyelesaian substantif bagi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
Beliau berkata ini akan mempercepatkan transformasi digital dalam ASEAN dan mewujudkan ekonomi digital yang lebih berintegrasi di seluruh rantau ini.
DEFA juga akan memperkasakan perniagaan dan menarik pelaburan global, yang berpotensi menggandakan ekonomi digital ASEAN kepada US$2 trilion menjelang 2030, katanya.
Menteri itu berkata agenda keutamaan utama Singapura pada tahun ini adalah untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menyampaikan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 yang substantif, termasuk melalui pelaksanaan projek di bawah Pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik (AOIP).
Beliau berkata dalam konteks global yang mendepani persaingan, ASEAN harus meningkatkan penglibatannya dengan kuasa-kuasa besar luar, terutama melalui EAS, yang pertama kali diadakan di Kuala Lumpur pada 2005.
"Dua dekad kemudian, dunia sudah berubah dengan ketara. Kami menyokong usaha Malaysia untuk memastikan EAS kekal sebagai alat yang berkesan bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini," katanya.
Balakrishnan menambah, ASEAN pada 2025 berdepan tiga cabaran utama - ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global, krisis iklim dan peluang serta cabaran teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui.
Di Permukiman AMM hujung minggu ini, Balakrishnan berkata Singapura akan memberi keutamaan kepada pembangunan ekonomi hijau dan digital ASEAN.
"Kami juga akan mempertingkatkan usaha untuk mengurangkan jurang pembangunan antara Negara Anggota agar semua negara di ASEAN dapat menyumbang dan memperoleh manfaat daripada pertumbuhan dan kemakmuran rantau ini," katanya, sambil menambah yang Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045 menyediakan peta hala tuju untuk mencapai objekti ini.
Balakrishnan berkata selama hampir enam dekad, ASEAN memupuk kestabilan serantau, membina komuniti yang bersatu untuk menghasilkan pertumbuhan dan kemakmuran bagi rakyatnya.
Beliau berkata komitmen terhadap keterangkuman adalah pengikat yang menjadikan integrasi ASEAN, walaupun dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan sistem politik di rantau ini.
Permukiman AMM akan diadakan dari 18 hingga 19 Jan di Langkawi, sebuah pulau yang terkenal dengan landskap semula jadi dan pantainya di Kedah, Malaysia.
Permukiman ini menandakan mesyuarat pertama antara Menteri-Menteri Luar ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia bagi 2025.
-- BERNAMA