EKONOMI

Kerajaan Usaha Baiki Ekosistem RDCI, Tingkatkan Daya Saing Malaysia - Rafizi

16/01/2025 05:17 PM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang dalam proses menambah baik ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan dan Inovasi (RDCI) dalam negara, dengan mengambil kira beberapa jurang yang masih wujud berhubung perkara itu.

Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata walaupun kerajaan membelanjakan lebih RM1 bilion bagi membiayai program RDCI di swasta dan awam, namun tidak dinafikan terdapat beberapa jurang yang boleh ditambah baik bagi meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.

“Dan yang ini yang diusahakan secara bersama antara Kementerian Ekonomi dan MOSTI. Ia telahpun dibincangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Insya-Allah dalam tempoh dua tiga bulan daripada sekarang rancangannya setelah dibawa ke Kabinet (dan selesai), ia akan dilancarkan kepada rakyat pada separuh tahun pertama 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita mengenai hala tuju 2025 kementerian itu, selepas menghadiri Sesi Libat Urus (SLU) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bersama Dewan Perniagaan Dan Pemain Industri (Farmaseutikal & Kimia, Digital, Jentera & Peralatan, Agromakanan), di sini hari ini.

Rafizi berkata Kementerian Ekonomi akan terus menumpukan kepada dua aspek utama dalam usaha memperbaiki struktur ekonomi iaitu meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan isu ketelusan harga.

“Satu masalah utama dalam negara kita ialah apabila rantaian bekalan itu tidak cekap. Sesuatu hasil itu dibuat di tempat lain, kemudian dia ada kos tambahan untuk bawa ke Kuala Lumpur. Kemudian dihantar sekali lagi ke kawasan itu.

“Sedangkan logiknya kalau rantaian bekalan itu baik, maka orang di Selatan beli hasil dari Selatan jadi dia tidak ada harga logistik yang tinggi dan sebagainya. Tapi perkara ini perlu banyak infrastruktur, data dan juga peraturan yang belum ada,” katanya.

Rafizi berkata perhatian khusus juga akan diberikan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), iaitu hampir 97 peratus jumlah perniagaan dalam negara terdiri daripada PKS.

Beliau memaklumkan bahawa kajian bersama Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah dijalankan bagi menilai cabaran yang dihadapi PKS, termasuk kesukaran untuk berkembang dan bergabung menjadi entiti lebih besar.

“…tapi ada masalah-masalah struktur. Sukar untuk dia (PKS) bergabung untuk jadi lebih besar dan sebagainya. Itu juga akan menjadi tumpuan,” katanya.

Sesi libat urus yang berlangsung hampir tiga jam itu dihadiri lebih 100 pihak berkepentingan dalam bidang berkaitan yang mengutarakan isu dan cabaran yang dihadapi dan ia dikendalikan oleh Rafizi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy