DUNIA

Pengurusan Haji Indonesia Terima Pujian Arab Saudi

17/01/2025 06:57 PM

JAKARTA, 17 Jan (Bernama-ANTARA) -- Kerajaan Arab Saudi memuji Indonesia atas pengurusan perkhidmatan haji, mengiktiraf usaha kerajaan Indonesia sebagai berperikemanusiaan dan profesional, kata Menteri Hal Ehwal Agama Nasaruddin Umar, lapor agensi berita ANTARA.

Dalam kenyataan yang diterima daripada kementeriannya di sini pada Jumaat, Umar memetik Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al Rabiah sebagai berkata bahawa perkhidmatan Haji contoh Indonesia telah mempengaruhi secara positif kepada pelaksanaan ibadah haji di peringkat global.

"Kerajaan Arab Saudi telah memuji kerajaan Indonesia, dengan menyatakan bahawa kami sentiasa mempertimbangkan bukan sahaja kepentingan jemaah kami sendiri tetapi juga hal ehwal haji global secara amnya sambil mempromosikan pendekatan haji yang berperikemanusiaan," katanya.

Umar menjelaskan bahawa pendekatan itu berorientasikan kepada pengalaman haji yang memuaskan.

Beliau turut menyatakan kerajaan Arab Saudi juga memuji profesionalisme Indonesia dalam melaksanakan perkhidmatan Haji.

Umar kemudian menegaskan kerajaan Indonesia sememangnya komited untuk menyediakan perkhidmatan haji yang aman, selamat dan selesa.

Sehubungan itu, beliau menyeru kakitangan di kementeriannya agar berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan perkhidmatan dan pengalaman terbaik kepada semua jemaah Haji Indonesia.

-- BERNAMA-ANTARA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383869