SUKAN

Nurul Izzah Rasa Tergugat Dengan Prestasi Nur Alyssa

18/01/2025 08:27 PM

NILAI, 18 Jan (Bernama) -- Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengakui berasa tergugat dengan kedudukannya sebagai pelumba berbasikal wanita terbaik negara selepas melihat prestasi juniornya, Nur Alyssa Mohd Farid pada saingan siri kedua Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) hari ini. 

Ia berikutan kehebatan Nur Alyssa, 18, berjaya mencatatkan masa 10.953 saat (s) yang merupakan rekod peribadi terbaik beliau untuk mengungguli pusingan kelayakan acara pecut wanita di Velodrom Nasional di sini. 

Nurul Izzah, 22, pemenang pingat gangsa Kejohanan Asia 2024, menduduki tempat kedua dengan catatan 11.000s, namun menebus kembali kekecewaan itu dengan meraih pingat emas acara berkenaan. 

“Saya bangga dengan dia (Nur Alyssa), walaupun masih pelapis dan perlukan banyak pengalaman, dia buat catatan masa yang baik. Saya memang tak puas hati dengan catatan masa saya, ada rasa tergugat.

“Namun ia bagus untuk mengingatkan saya supaya tidak berada di zon selesa kerana ada pelumba junior yang boleh kejar. Saya akan lebih fokus dan menjadi semakin baik dengan mendapatkan nasihat daripada jurulatih,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan itu.

Nurul Izzah merangkul emas setelah menewaskan Kim Haeun dari Korea Selatan 2-0 pada final, manakala Nur Alyssa menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas tewas 0-2 kepada seorang lagi wakil Korea Selatan, Cho Sunyoung pada penentuan gangsa. 

Nurul Izzah yang sebelum ini meraih kejuaraan acara pecut dan keirin pada siri pertama Selasa dan Rabu lepas akan seterusnya beraksi dalam acara keirin esok, manakala siri ketiga Piala Presiden dijadualkan Rabu dan Khamis depan. 

Selain Kejohanan Berbasikal Trek Asia di venue sama bulan depan, Nurul Izzah juga dijangka menyertai Piala Negara-Negara dalam usaha mengumpul mata ranking dunia untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Santiago, Chile bermula 22-26 Okt ini.

Sementara itu, Muhammad Ridwan Sahrom merangkul emas acara pecut lelaki selepas menewaskan rakan senegara Muhammad Fadhil Mohd Zonis 2-0 pada final, manakala Sam Gallagher membawa pulang gangsa selepas mengatasi pelumba Korea Selatan Bae Junhyeong.

Muhammad Ridwan, 23, yang meraih gangsa acara pecut dan tidak layak ke final keirin pada siri pertama gembira dapat meningkatkan sedikit keyakinannya untuk beraksi dalam kejohanan antarabangsa selepas kali terakhir beraksi pada Kejohanan Dunia di Ballerup, Denmark pada Oktober lepas.

“Kejohanan ini turut menjadi medan penting untuk mengesahkan slot ke Kejohanan Asia. Buat masa ini saya sah menyertai acara pecut berpasukan, namun pelumba untuk keirin dan pecut individu belum dinamakan lagi,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384229