EKONOMI

Pakar Ekonomi : KDNK Malaysia 2024 Dijangka Melangkaui Anggaran Pada 5.4 Peratus

17/01/2025 08:19 PM

 

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- UOB Kay Hian Wealth Advisors optimis Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 Malaysia akan melangkaui anggaran awal sebanyak 5.1 peratus yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.  

Ketua Penyelidikan Pelaburannya, Mohd Sedek Jantan menjangkakan pertumbuhan yang lebih tinggi iaitu 5.4 peratus.  

Mohd Sedek mengaitkan pandangan positifnya dengan mengekalkan penggunaan swasta yang lebih baik termasuk prestasi eksport yang teguh.

“Pendekatan proaktif kerajaan untuk mempelbagaikan rakan perdagangan dan memajukan perjanjian perdagangan memantapkan lagi kedudukan luar Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah jangkaan pertumbuhan itu akan menambah keyakinan pelabur serta menarik pelaburan langsung asing, yang seterusnya, akan mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan pendapatan isi rumah.  

Berdasarkan anggaran awal DoSM ke atas KDNK bagi suku keempat 2024, KDNK Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.1 peratus pada 2024, menokok berbanding 3.6 peratus pada 2023. 

Pertumbuhan ini disokong oleh prestasi positif merentas semua sektor, dengan jangkaan pertumbuhan suku keempat 2024 pada 4.8 peratus, berikutan pengukuhan 5.3 peratus pada suku ketiga.  

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2024 pada 5.1 peratus, selaras dengan anggaran DoSM.

“Bagi anggaran akhir suku keempat 2024, yang dijadualkan dikeluarkan menjelang 14 Feb, kami menjangka pertumbuhan KDNK kekal pada 4.8 peratus dari tahun ke tahun,” kata bank itu melalui satu nota. 

RHB juga mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 tidak berubah pada 5.0 peratus.  

Sementara itu, Pakar Ekonomi Kanan ASEAN OCBC, Lavanya Venkateswaran menyatakan bahawa anggaran 2024 DoSM sejajar dengan jangkaan rasmi Kementerian Kewangan iaitu sebanyak 4.8–5.3 peratus.  

“Keluaran pertumbuhan KDNK 2024 secara umumnya konsisten dengan jangkaan rasmi dan sejajar dengan pandangan kami bahawa Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasarnya tidak berubah pada 3.00 peratus pada 2025,” katanya dalam satu nota.

Venkateswaran mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025nya pada 4.5 peratus, memetik permintaan domestik yang kukuh dan berdaya tahan, walaupun pertumbuhan eksport agak sederhana.

“Kekuatan dalam perbelanjaan isi rumah serta pelaburan berkemungkinan akan dikekalkan pada 2025, manakala pertumbuhan eksport elektrik dan elektronik akan kekal mantap tetapi sederhana berbanding dengan kadar pertumbuhan yang dilihat semasa 2024,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383904