Oleh Yasmin Ahmad Zukiman
LANGKAWI, 18 Jan (Bernama) -- Seni lukisan batik, yang sering dilihat sebagai ekspresi rasa cinta kepada alam semula jadi, mendorong anak jati Langkawi, Muhammad Hakim Iskandar Jasni, untuk menghasilkan bahan perhiasan dan cenderamata berkualiti tinggi sejak sedekad lalu.
Usaha kreatif ini seiring dengan semangat ASEAN, ketika pertukaran budaya dan promosi seni ketukangan serantau memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan serta identiti bersama negara anggota.
Minat Muhammad Hakim, 20, terhadap bidang itu bertambah kuat apabila mendapat dorongan ibu dan bapanya yang turut mengusahakan perniagaan kraftangan di Kompleks Kraf Langkawi.
“Bagi saya apabila melukis dan mewarna batik terutamanya melibatkan flora dan fauna, ia menjadi terapi jiwa kerana dapat berkarya dengan bebas dan pada masa sama mendorong saya lebih fokus dan teliti.
“Setiap lukisan batik yang dihasilkan juga seolah-olah menggambarkan ‘hadiah’ saya kepada pembeli atau peminat seni khususnya pelancong dan delegasi untuk membawa balik kenangan manis dari Langkawi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di reruai sempena Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, di sini.
Muhammad Hakim Iskandar berkata lukisan batik yang dihasilkan menggunakan lilin sebagai bahan utama akan mengambil masa sekitar dua hari untuk siap sepenuhnya bergantung kepada kerumitan corak, dengan harga jualan bermula RM100 mengikut saiz.
Antara lukisan yang dihasilkan anak sulung daripada lima beradik itu yang turut dipamerkan di reruai adalah Perkampungan Nelayan Teluk Yu, pokok heliconia atau sepit udang dan spesis burung kenyalang, "Great Hornbill".
Sementara itu, Pegawai Pemasaran kraftangan ukiran kayu Azrizal Abd Aziz yang turut mempromosikan cenderamata di reruai sempena AMM berkata ia adalah inisiatif yang baik untuk meraikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Pada masa sama kita dapat menarik minat delegasi untuk mengenali seni ukiran tempatan yang dihasilkan daripada kayu jati dan mahogani yang diambil terus dari Langkawi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata cenderamata seperti hiasan dinding, bekas lilin, pelapik gelas dan beg tangan juga boleh dipos ke luar negara bagi delegasi yang ingin membuat tempahan.
Permukiman AMM adalah mesyuarat pertama dalam kalendar tahunan ASEAN di peringkat Menteri di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia bagi 2025.
Lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN serta negara pemerhati Timor-Leste turut menghadiri permukiman itu.
-- BERNAMA