Oleh Yasmin Ahmad Zukiman
LANGKAWI, 18 Jan (Bernama) -- Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menandakan kemunculan sulung kenderaan elektrik (EV) utama negara, Proton e.MAS 7 sebagai kereta rasmi bagi Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
Sebanyak 61 unit Proton e.MAS 7 digunakan untuk membawa wakil-wakil utama Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi pagi ini.
Inisiatif ini sejajar dengan tema Kepengerusian Malaysia, “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang menonjolkan kepimpinan negara dalam mempromosikan teknologi hijau dan mengurangkan kesan alam sekitar bagi acara antarabangsa berskala besar.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika semakan persiapan akhir untuk AMM baru-baru ini, berkata bahawa semua 61 kenderaan e.MAS 7 sudah bersedia digunakan untuk membawa pemimpin SOM.
Ketika pelancaran Proton e.MAS 7 pada 16 Dis tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cita-cita Malaysia untuk menjadi contoh di rantau ini dengan mempromosikan pembangunan EV.
Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan lanjutan komitmen negara ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih.
Anwar juga berkata bahawa pemilihan e.MAS 7 sebagai kereta rasmi untuk mesyuarat ASEAN mencerminkan sokongan kerajaan terhadap pengeluaran EV pertama Proton.
Mesyuarat SOM ASEAN berfungsi sebagai sesi persediaan penting untuk AMM yang dijadualkan bermula esok.
Mesyuarat AMM menandakan mesyuarat peringkat menteri pertama di bawah Kepengerusian Malaysia, sekali gus membuka tirai tahun yang kritikal dan padat.
-- BERNAMA