MACHANG, 19 Jan (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara memperuntukkan RM20 juta kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi memodenkan dan menaik taraf 300 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ke status KRT Progresif pada tahun ini.
Ketua Pengarah JPNIN Datuk Che Roslan Che Daud berkata terdapat 8,529 KRT di seluruh negara dan daripada jumlah itu, pihaknya akan memilih 300 KRT untuk dinaik taraf.
“Tahun lepas, kami telah memodenkan dan menaik taraf 152 KRT Progresif. Tahun ini, kami menyasarkan untuk menaik taraf 300 lagi KRT dengan peruntukan ini.
“KRT Progresif ini perlu memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan, antaranya mesti mempunyai projek ekonomi dan sara hidup serta melaksanakan Skim Rondaan Sukarela (SRS),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah JPNIN di sini hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu penting kerana projek ekonomi yang dibangunkan KRT Progresif mampu menjana pendapatan komuniti, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.
Che Roslan menjelaskan projek ekonomi di bawah KRT Progresif meliputi tiga sektor utama iaitu pertanian, produk dan perkhidmatan.
“Setiap projek yang dibangunkan bagi mendapatkan status KRT Progresif tidak boleh melebihi kos RM100,000. Pemilihan KRT yang akan dinaik taraf dibuat berdasarkan cadangan daripada Jabatan Perpaduan negeri masing-masing,” katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan pusat, melalui kementerian telah memperuntukkan RM5 juta untuk memperbaiki dan menambah baik fasiliti Tabika serta Taska Perpaduan di seluruh negara.
“Peruntukan ini akan disalurkan selepas bulan Mac, sebaik pengarah negeri masing-masing menyiapkan skop kerja untuk memperbaiki dan menaik taraf fasiliti Tabika dan Taska yang memerlukan perhatian.
“Selain itu, terdapat juga peruntukan RM2 juta untuk membaiki fasiliti lain, termasuk kerosakan kecil yang dialami akibat banjir baru-baru ini,” katanya.
-- BERNAMA