JENAYAH & MAHKAMAH

Daerah Kuala Kangsar Catat Kes Jenayah Siber Tertinggi - MCPF

19/01/2025 05:26 PM

TAIPING, 19 Jan (Bernama) -- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Perak memaklumkan daerah Kuala Kangsar mencatatkan jumlah jenayah siber paling tinggi di negeri ini berbanding daerah lain dan pelbagai program sedang disusun bagi mengenal pasti langkah berkesan bagi menangani isu berkenaan.

Pengerusi MCPF Perak Datuk Zainal Azman Abu Seman berkata langkah-langkah komprehensif lebih serius sedang diambil untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman jenayah, khususnya jenayah siber. 

Beliau berkata program berkala itu bagi memastikan maklumat dapat disampaikan ke semua peringkat masyarakat dan kawasan, termasuk luar bandar khususnya tentang jenayah siber atau dalam talian yang semakin berleluasa. 

"Kita terima laporan pengerusi di setiap daerah di Perak bermula dari 2023 hingga 2024 agar tumpuan turut diberikan bagi menangani isu berkaitan jenayah siber dengan lebih menyeluruh dan efektif. 

"Sebagai contoh, hasil pembentangan semalam dimaklumkan kes jenayah siber yang paling banyak berlaku adalah di daerah Kuala Kangsar yang kita tidak jangka, jadi kita akan berikan tumpuan pada tahun ini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penutup Retreat MCPF Perak Cawangan Larut Matang dan Selama di sini hari ini. 

Turut hadir dan merasmikan majlis berkenaan, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak Zaharudin Rasip. 

Zainal berkata pihaknya turut dimaklumkan di peringkat pusat, agensi penting kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu berkolaborasi bersama MCPF bagi meningkatkan lagi keberkesanan pencegahan jenayah. 

Mengulas lanjut, Zainal Azman berkata MCPF Perak tidak terkecuali memainkan peranan dengan menganjurkan aktiviti, seminar dan program pencegahan jenayah dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah yang perlu diberikan perhatian. 

"MCPF hanya dapat bantu dengan berikan program pendidikan kepada generasi muda agar tidak terjerumus dalam gejala sosial, selain tingkatkan tahap kesedaran mereka.

"Kita juga akan memperkasakan lagi program berkala yang dijalankan dalam komuniti kerana kita nampak ciri jenayah pun boleh berubah daripada konvensional kepada lebih rumit menggunakan teknologi, jadi ahli MCPF kena ubah cara agar kesedaran lebih efektif," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384432