KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama membangunkan kenderaan elektrik (xEV) generasi baharu.
MoU itu termasuk program mendidik dan melatih jurutera baharu bagi membangunkan teknologi terkini berkaitan dengan xEV.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata syarikat itu berharap dapat membantu Malaysia membangunkan sendiri teknologi xEV pada masa depan.
“Menerusi MoU ini, Perodua mengambil langkah ke hadapan daripada mandat asal kami iaitu sebagai perantara pemindahan teknologi kepada menjadi entiti bagi memacu pembangunan teknologi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (penyelidikan dan inovasi) UTM Prof Dr Rosli Md Illias berkata kerjasama itu menekankan mengenai kepentingan untuk merapatkan jurang antara ahli akademik dan pihak industri serta melengkapkan graduan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.
Justeru, perkongsian itu akan memperkasa pelajar dan penyelidik UTM, menjadi model kerjasama antara ahli akademik dan industri serta memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam sektor automotif global.
Menerusi MoU itu juga, katanya, satu makmal satelit akan dibina di kampus utama UTM di Skudai, Johor.
“Perodua dan UTM akan bekerjasama secara aktif dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan, selain program pembangunan bakat dan latihan bagi pekerja masing-masing,” katanya dalam kenyataan itu.
-- BERNAMA