Oleh Noor Bakthtiar Ahmad
KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) mengesahkan kejayaannya memudahkan pertukaran tiga tawanan Israel dan 90 tahanan Palestin pada Ahad.
Presiden ICRC Mirjana Spoljaric, dalam satu kenyataan pada Isnin berkata pihaknya berasa lega melihat mereka yang dibebaskan dapat bersatu kembali dengan keluarga masing-masing.
“Memastikan mereka pulang dengan selamat dan menyediakan penjagaan yang diperlukan pada saat genting ini adalah satu tanggungjawab besar.
“Operasi ini adalah contoh kukuh bagaimana peranan kami sebagai perantara neutral antara pihak bertelagah mampu menyelamatkan dan mengubah kehidupan, dengan syarat kedua-dua pihak mencapai kata sepakat,” katanya.
Spoljaric menyifatkan operasi itu sebagai kompleks dan memerlukan langkah keselamatan ketat bagi memastikan keselamatan semua pihak terlibat, dengan pasukan ICRC menghadapi cabaran besar termasuk menguruskan orang awam yang ramai, emosi yang memuncak serta ancaman bahan letupan dan infrastruktur rosak di Gaza.
“Operasi ini menandakan permulaan usaha berperingkat, seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak untuk membawa pulang tawanan dan tahanan.
“ICRC, sebagai perantara kemanusiaan neutral memudahkan pemindahan tawanan dan tahanan dengan selamat. Kakitangan khas ICRC, termasuk doktor turut hadir bagi memberikan penjagaan yang diperlukan,” katanya.
Spoljaric berkata lebih ramai ahli keluarga masih menanti kepulangan orang tersayang.
“Kami menyeru semua pihak agar terus mematuhi komitmen mereka demi memastikan operasi seterusnya dapat dilaksanakan dengan selamat.
“Pasukan kami bersedia untuk terus melaksanakan perjanjian ini supaya lebih ramai tawanan dan tahanan dapat dibebaskan dan lebih banyak keluarga dapat disatukan semula,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Spoljaric menekankan bahawa bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan mesti memasuki Gaza, ekoran penduduk awam bergelut selama berbulan-bulan untuk mendapatkan makanan, air bersih dan tempat perlindungan.
ICRC bersedia meningkatkan tindak balas kemanusiaannya dengan kerjasama rakan-rakan dalam Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, katanya.
-- BERNAMA
TAG: ICRC, tebusan, Gaza, Israel, kejayaan
NBA2 VMP TFTY