SHAH ALAM, 20 Jan (Bernama) -- Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor dijangka berlangsung pada bulan Ogos, kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi.
Beliau berkata keputusan yang turut melibatkan penganjuran Para SUKMA pada bulan sama itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola (Induk) SUKMA 2026 yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Amirudin Shari hari ini.
Mohd Najwan berkata tarikh itu diputuskan selepas menimbang beberapa faktor, antaranya kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung pada Jun hingga Julai, disusuli Sukan Komanwel dan Sukan Asia selepas itu.
“Kita lihat ada jurang di antara penganjuran Sukan Komanwel dan Sukan Asia, jadi kita putuskan Ogos untuk kita anjurkan SUKMA dan Para SUKMA di Selangor tahun depan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di sini hari ini.
Mohd Najwan berkata mesyuarat itu turut menyenaraikan Litar Antarabangsa Sepang dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebagai dua lokasi yang berpotensi dijadikan venue bagi acara pembukaan dan penutupan temasya dwitahunan berkenaan.
Beliau berkata pihak sekretariat juga diarahkan turun ke lapangan bagi mengenal pasti tahap kebolehgunaan infrastruktur sukan di tujuh daerah di Selangor yang terlibat dalam penganjuran temasya berkenaan.
“Ini bagi memastikan pihak berkuasa tempatan dan agensi yang berkaitan dapat memulakan kerja-kerja naik taraf atau pembaikan dengan kadar segera agar infrastruktur itu bersedia untuk digunakan pada 2026," katanya.
Mohd Najwan berkata penganjuran SUKMA 2026 melibatkan 28 sukan teras dengan lima sukan tambahan yang masih di peringkat perbincangan bersama pihak Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri.
“Kita nak pastikan penganjuran nanti berlangsung dengan penuh semangat kesukanan kerana kita tidak mahu sukan tambahan itu bersifat memberi kelebihan kepada tuan rumah, tetapi membuka ruang kepada negeri-negeri lain untuk mengetengahkan atlet mereka.
“Antara sukan tambahan yang dicadangkan ialah pickleball, catur, ekuestrian dan e-sukan,” katanya.
Mohd Najwan berkata bagi Para SUKMA pula, sebanyak 10 sukan teras akan dipertandingkan dengan beberapa sukan tambahan lain juga dibincangkan.
-- BERNAMA