DUNIA

Perjanjian Gencatan Senjata Dicapai Antara Kerajaan Myanmar, Kumpulan Bersenjata Kokang

20/01/2025 09:49 PM

BEIJING, 20 Jan (Bernama-Xinhua) -- Kerajaan Myanmar dan Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) Kokang telah mencapai dan menandatangani perjanjian gencatan senjata rasmi yang berkuat kuasa pada 18 Jan, lapor Xinhua.

Jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning berkata di bawah pengantaraan China, kerajaan Myanmar dan MNDAA telah mengadakan rundingan damai pusingan ketujuh di Kunming, Wilayah Yunnan, China pada pertengahan Januari, dan kedua-dua pihak melahirkan rasa terima kasih atas usaha China dalam menjayakan hasil rundingan itu.

Beliau berkata meredakan ketegangan di utara Myanmar adalah demi kepentingan bersama pelbagai pihak di Myanmar dan negara serantau, serta akan menyumbang kepada keselamatan, kestabilan dan pembangunan di kawasan sempadan China-Myanmar.

"China dan Myanmar adalah jiran yang mesra, dan China dengan tegas menentang sebarang konflik atau pergolakan di Myanmar," katanya pada sidang media Isnin.

Mao berkata adalah diharapkan semua pihak akan mengekalkan momentum gencatan senjata dan rundingan damai, bersungguh-sungguh melaksanakan konsensus yang dicapai, meredakan ketegangan secara proaktif dan menyelesaikan isu berkaitan melalui dialog dan rundingan selanjutnya.

Menurut Mao, China akan menyokong dengan tegas usaha Myanmar untuk mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan, perpaduan negara dan integriti wilayah, menyokong usaha untuk memastikan keamanan, kestabilan dan pembangunan ekonomi, serta menyokong teguh usaha Myanmar untuk mencapai perdamaian politik dan memajukan agenda politik domestiknya dalam rangka kerja perlembagaan.

"China akan terus secara aktif mempromosikan rundingan damai dan memberikan sokongan serta bantuan untuk proses damai di utara Myanmar," katanya.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2384886