KOTA BHARU, 20 Jan (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengambil inisiatif memperbaiki jalan rosak di Pos Pasik, Gua Musang, yang sering tidak dapat digunakan terutama ketika musim tengkujuh.
Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sapiah Mohd Nor berkata usaha itu dilakukan berikutan keprihatinan pihaknya terhadap keadaan jalan berkenaan, walaupun kerja-kerja pembaikan telah dilakukan secara berkala sebelum ini.
“Untuk makluman, jalan ini tidak termasuk dalam laluan Projek Jalan Perhubungan Desa yang melibatkan Kuala Betis - Pos Bihai - Pos Belatim - Pos Balar - Pos Hau - Kuala Betis.
“JAKOA Kelantan akan menggunakan peruntukan pembangunan tahun 2025 bagi membaik pulih jalan yang rosak dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, JAKOA melarang sebarang aktiviti kemasukan ke kawasan Orang Asli tanpa kebenaran, kerana tindakan sedemikian boleh memburukkan lagi keadaan jalan terutama semasa musim hujan.
-- BERNAMA