JOHOR BAHRU, 20 Jan (Bernama) -- Forum Pelancongan ASEAN 2025 (ATF 2025), yang berlangsung selama enam hari dan berakhir hari ini, mengetengahkan ASEAN sebagai destinasi pelancongan yang kukuh dan dinamik.
ATF 2025, yang bermula pada 15 Jan lepas, merangkumi beberapa program utama termasuk Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN ke-28, Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan (ASEAN+3) ke-24, Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN-India ke-12, dan Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN-Rusia ke-4.
Forum itu, bersempena dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, memberi tumpuan kepada memupuk pelancongan yang mampan, berdaya tahan dan inklusif di Asia Tenggara, mencerminkan komitmen anggota ASEAN untuk membina komuniti ASEAN yang adil dan mampan.
Bertemakan Unity in Motion: Shaping ASEAN Tourism Tomorrow, forum berkenaan menekankan kerjasama antara negara anggota untuk mengubah industri pelancongan serantau.
Kenyataan bersama oleh Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN memaklumkan forum itu menonjolkan hubungan budaya dan fizikal ASEAN serta memberi fokus kepada membina sektor pelancongan yang berdaya tahan, inovatif dan mampan.
Kenyataan itu memberitahu pada Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN ke-28, menteri-menteri berkenaan mengulangi komitmen mereka terhadap Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) 2016-2025 dengan 70 peratus daripada aktiviti telah diselesaikan.
Menteri-menteri juga membincangkan rancangan untuk Strategi Pelancongan ASEAN 2026-2030, yang memberi tumpuan kepada kemampanan dan berdaya tahan, termasuk kepentingan meningkatkan sumber manusia, mempromosikan pelancongan mampan dan memperkukuh krisis komunikasi.
Dalam mesyuarat itu, Malaysia mencadangkan pemantapan Prestasi Pelancongan ASEAN menggunakan data pelawat untuk menjana data yang lebih tepat dan menyeluruh mengenai sumbangan ekonomi mereka, serta mencadangkan penubuhan Mekanisme ASEAN-Australia bagi memperkukuh hubungan ASEAN-Australia.
Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan (ASEAN+3) ke-24, menteri-menteri menekankan keperluan untuk membangunkan Pelan Tindakan 2026-2030 dengan fokus kepada pemasaran bersama dan pelancongan mampan manakala Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN-India ke-12 membincangkan tentang pelancongan kapal persiaran, hubungan udara dan maritim, serta pelancongan mampan.
Para menteri juga menumpukan kepada pemeliharaan warisan budaya dan mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti sebagai keutamaan.
Dalam Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN-Rusia ke-4, menteri pelancongan berkaitan menegaskan semula komitmen mereka terhadap hubungan pelancongan yang lebih kukuh, memberi tumpuan kepada pertukaran budaya, kemampanan dan pembangunan kapasiti.
Keutamaan termasuk meningkatkan pendidikan pelancongan, berkongsi amalan terbaik dan menggunakan teknologi digital untuk meningkatkan daya tahan, turut ditekankan ialah keperluan untuk pembelajaran bersama dan penyelesaian inovatif terhadap cabaran yang semakin berkembang.
Bersempena dengan ATF 2025, Malaysia turut menganjurkan ASEAN Travel Exchange (Travex), platform perniagaan yang direka untuk pembeli dan penjual ASEAN untuk berhubung serta meneroka pelbagai produk dan perkhidmatan destinasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini dari 15 hingga 17 Jan.
Acara ini mengumpulkan 323 pembeli, 221 penjual, 221 pempamer dan 100 wakil media, memaparkan pemulihan dan potensi pertumbuhan sektor pelancongan.
Peserta juga terlibat dalam perbincangan produktif, rangkaian dan perkongsian idea untuk membentuk masa depan pelancongan di Asia Tenggara.
Pada majlis penutupan, Malaysia menyerahkan penganjuran ATF 2026 kepada Filipina, yang turut akan mengambil alih kepengerusian ASEAN tahun depan.
Bagaimanapun, penganjuran ATF 2025 oleh Malaysia akan meninggalkan kesan berpanjangan kerana hasil daripada mesyuarat dan kerjasama ini memperkukuh pelancongan serantau, mempromosikan persefahaman bersama dan menyokong kemampanan.
Hal ini sejajar dengan dedikasi Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, untuk mengintegrasikan nilai kelestarian alam sekitar dan inklusif dari segi sosial dalam inisiatif ekonomi dan sosial.
-- BERNAMA