Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 21 Jan (Bernama) -- ASEAN menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UN Tourism, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang didedikasikan untuk memupuk pelancongan yang bertanggungjawab, mampan dan boleh diakses secara sejagat, dalam langkah penting membentuk semula dan memperkukuh sektor pelancongan di rantau ini.
Kerjasama ini bertujuan meningkatkan amalan pelancongan mampan, menyediakan negara-negara ASEAN dengan instrumen untuk berkembang dalam dunia pasca-pandemik dan menetapkan piawaian global bagi pelancongan lestari, sekali gus menjadikan rantau ini sebagai “Destinasi untuk Setiap Impian”.
“MoU ini mewujudkan rangka kerja yang kukuh untuk kerjasama teknikal, dengan memberi tumpuan kepada daya saing pelancongan, pembinaan kapasiti dan kemampanan,” menurut kenyataan dari Sekretariat ASEAN pada Selasa.
Kerjasama ini juga bertujuan meningkatkan profil ASEAN sebagai destinasi pelancongan utama sambil mengekalkan identiti serantau dan memberi latihan kepada pemegang berkepentingan untuk membantu menyesuaikan diri dengan trend pelancongan yang sedang berkembang.
Ia juga akan memberi tumpuan kepada sokongan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan warisan budaya dan memastikan pelancongan memberi manfaat kepada semua komuniti terutamanya kumpulan yang terpinggir, untuk meningkatkan daya tahan dan nilai industri pelancongan ASEAN.
Kerjasama ini turut menangani keperluan mendesak bagi membina daya tahan selepas pandemik COVID-19 dengan memberi keutamaan kepada pengalaman pelancongan mesra alam dan berorientasikan komuniti yang menyokong ekonomi tempatan.
“MoU ini merupakan langkah penting ke arah membuka potensi penuh pelancongan ASEAN, bukan sahaja untuk pertumbuhan ekonomi tetapi juga pertukaran budaya dan perpaduan serantau,” menurut sekretariat itu.
-- BERNAMA