KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Polis mengesahkan kedai serbaneka di sebuah universiti awam di sini yang terlibat dengan isu penyalahgunaan logo halal membabitkan produk ham and cheese disimbah cat merah lewat tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood dalam kenyataan berkata laporan polis mengenai kejadian berkenaan dibuat oleh seorang anggota polis bantuan universiti terbabit pada 8 pagi tadi selepas diberitahu oleh pekerja kedai serbaneka itu terdapat kesan cat merah di hadapan pintu kedai.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 12.50 tengah malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Pada 13 Jan lepas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataan media mengesahkan produk ham and cheese yang dijual di dalam premis di universiti awam itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.
-- BERNAMA