EKONOMI

Standard Chartered Global Research: BNM Dijangka Kekalkan Opr Pada 3.0 Peratus

21/01/2025 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Standard Chartered Global Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus dalam mesyuarat keputusan dasar monetari 22 Januari ini.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, firma penyelidikan itu berkata berdasarkan pertumbuhan yang kukuh dan inflasi yang terkawal, keputusan status quo itu tidak mengejutkan.

Ia berkata meskipun pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2024 dilihat perlahan, ia masih berada pada tahap yang baik pada 4.8 peratus tahun ke tahun.

"Penilaian bank pusat bergantung terhadap prestasi ringgit baru-baru ini.

"Berikutan prestasi ringgit yang lebih baik dalam pertukaran asing serantau bagi tempoh sembilan bulan 2024, penilaian BNM terhadap ringgit berubah daripada  "terkurang nilai" pada Mac kepada  "tidak mencerminkan... asas-asas" pada Mei, dan seterusnya menyatakan bahawa ia didorong oleh faktor luaran pada Julai hingga November," katanya.

Menurut firma penyelidikan itu, ringgit telah terkurang nilai sebanyak 8.3 peratus berbanding dolar AS sejak akhir September 2024 dan merupakan prestasi terburuk di rantau ini.

Ia berkata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyatakan bahawa ringgit telah terkurang nilai, manakala Gabenor Bank Negara Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata BNM bersedia menguruskan risiko turun naik yang berlebihan dalam pasaran pertukaran asing.

"Kami menjangkakan BNM akan mengulangi pembabitannya dengan pihak berkepentingan untuk menyokong ringgit.

"Bagaimanapun, bank pusat mungkin tidak cenderung untuk menyatakan bahawa ringgit terkurang nilai, memandangkan sehingga 7 Januari, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) kira-kira 3.8 peratus melebihi purata 10 tahun," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385146