JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Malaysia Tahan 1,317 Individu Libatkan Rampasan Bernilai RM79 Juta Sepanjang 2024

21/01/2025 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan hampir 52,000 penggeledahan ke atas vesel yang disyaki, dengan 1,317 tangkapan melibatkan nilai rampasan hampir RM79 juta sepanjang tahun 2024.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata rampasan berkenaan melibatkan aset dan barangan seperti petrol, diesel, barangan kawalan, dadah, rokok serta vesel nelayan asing (VNA).

Mohd Rosli berkata beliau yakin dan percaya apabila penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dipertingkatkan dalam sistem pengawasan sedia ada, jumlah tangkapan akan meningkat dan perairan negara semakin terkawal.

“Sistem pintar yang dilengkapi AI dapat mengesan pola pergerakan yang mencurigakan, membantu kami bertindak lebih cepat dalam memintas ancaman seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah maritim lain.

“Maritim Malaysia perlu bergerak seiring dengan perubahan teknologi moden kerana pihak penjenayah kini turut cenderung menggunakan AI untuk tujuan aktiviti jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas seruan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar “Strategi Berorientasikan Komuniti” dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran awam, Mohd Rosli berkata agensi komited mendekati komuniti maritim seperti para nelayan dan masyarakat pesisir pantai bagi memperkukuh hubungan serta meningkatkan kerjasama yang baik dalam menjaga perairan negara. 

“Malah warga Maritim Malaysia sememangnya mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan komuniti maritim di segenap lapisan bermula dari Ibu Pejabat, Maritim Negeri (MN) dan Zon Maritim (ZM).

“Maritim Malaysia telah melaksanakan 48 Program Sahabat Maritim di seluruh negara pada 2024 dan dengan pelbagai langkah strategik yang dirangka, kami optimis dapat menyokong aspirasi Malaysia MADANI untuk mencipta negara yang berdaya tahan, selamat dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Mohd Rosli berkata agensi itu akan terus progresif tanpa henti bagi memastikan mereka sentiasa bersiap sedia dan efisien dalam mendepani cabaran yang semakin kompleks serta dinamik demi keselamatan dan keamanan perairan negara.

“Ia selari dengan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040, iaitu usaha untuk menjadikan agensi ini sebuah badan Coast Guard terbaik di dunia serta menjadi simbol kebanggaan dan kepercayaan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385150