AM

Wakil Malaysia Menang Dua Anugerah Pada Pertandingan Mrs World 2024

01/02/2025 07:26 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Wakil Malaysia Dr Shalini Devi Ramachandran merangkul dua anugerah berprestij pada pertandingan Mrs World 2024 yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat semalam.

Mewakili negara sebagai Mrs Malaysia World 2024, Dr Shalini Devi merangkul gelaran Best Costume Award dan Mrs World Ambassador Award pada pertandingan itu.

Beliau berjaya memikat hati para juri dengan kostum kebangsaan yang menakjubkan, diberi nama Puteri Membara Malaysia.

Sebagai satu persembahan yang sangat memukau, kostum itu menampilkan trail (ekor) sepanjang 105 meter iaitu terpanjang pernah dicipta untuk kostum kebangsaan dan mendapat tempat dalam Malaysian Book of Records.

Direka oleh Saran Anak Lagong, pereka fesyen berpangkalan di Sarawak, busana ini menggandingkan motif batik tradisional dan songket dengan elemen artistik kontemporari, menyerlahkan kekayaan budaya Malaysia dan kecemerlangan kreativiti.

Rona merah dan hitam pada kostum itu mencerminkan kekuatan semangat dan ketabahan wanita Malaysia, dan pada masa sama memberi penghormatan kepada warisan budaya Malaysia.

Dr Shalini Devi juga kini dinobatkan sebagai Mrs World Ambassador 2024.

Pengarah Kebangsaan Mrs Malaysia World Sdn Bhd Datin Harveen Kaur memuji pencapaian luar biasa Dr Shalini Devi di pentas antarabangsa itu.

Dr Shalini Devi, 37, merupakan doktor perubatan dari Selangor, dan mengendalikan klinik bersama suaminya Dr Yuveneswara Murti, juga berusia 37 tahun.

Sementara itu, gelaran berprestij Mrs World 2024 dianugerahkan kepada peguam dari Afrika Selatan Tshego Gaelae, dengan Ishadi Amanda dari Sri Lanka dinobatkan naib juara dan Ploy Panperm dari Thailand meraih tempat ketiga.

Diwujudkan pada tahun 1984, Mrs World ialah pertandingan ratu cantik pertama di dunia, yang didedikasikan secara eksklusif untuk wanita yang sudah berkahwin, meraikan kecantikan, keanggunan dan pencapaian di luar pertandingan tradisional.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388469