EKONOMI

Labuan FSA Lancar Inisiatif ESG Untuk Pertumbuhan Lestari

21/01/2025 06:09 PM

LABUAN, 21 Jan (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) memperkenalkan Kumpulan Kerja Bersama (JWG) Labuan IBFC untuk ESG (LiFE) yang bertujuan untuk memajukan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).

Labuan FSA dalam satu kenyataan hari ini berkata perikatan strategik tersebut bertujuan menyelaraskan selain membimbing bagi mengubah pusat berkenaan ke arah pasaran antarabangsa yang lestari dan berdaya tahan.

JWG LiFE mengadakan mesyuarat pertama pada 16 Jan, 2025 yang dihadiri oleh 29 peserta termasuk pemimpin daripada Persatuan Bank-bank Labuan, Persatuan Insurans Antarabangsa Labuan, Persatuan Syarikat Amanah Labuan, Persatuan Bank Pelaburan Labuan bersama wakil sektor dan pegawai kanan Labuan FSA.

Semasa sesi mesyuarat tersebut, kumpulan berkenaan menetapkan keutamaan utama ESG untuk Labuan IBFC dan menyelaraskannya dengan Pelan Strategik Labuan IBFC 2022-2026.

Bagi melaksanakan keutamaan mereka, LiFE JWG menubuhkan kumpulan kerja sub fokus yang memberi tumpuan kepada pelbagai bidang.

Satu daripada kumpulan kerja sub fokus tersebut iaitu Inovasi Produk Kelestarian yang melibatkan pembangunan produk kewangan dan ekosistem di Labuan IBFC.

Ia selaras dengan prinsip ESG dan Tadbir Urus dan Pengawasan Risiko yang bertujuan untuk mempertingkatkan rangka kerja peraturan bagi tadbir urus, pengurusan risiko iklim dan pendedahan yang berkaitan dengan kelestarian.

Selain itu, Pembinaan Kapasiti dan Penyebaran yang menggalakkan kesedaran dan kepakaran kelestarian melalui latihan berkaitan ESG dan penglibatan pemegang taruh.

JWG LiFE juga menekankan pelaksanaan Taksonomi Kelestarian Labuan IBFC yang diperkenalkan oleh Labuan FSA pada Julai 2024.

Taksonomi ini akan membimbing institusi kewangan dalam menyelaraskan aktiviti perniagaan mereka dengan matlamat ESG Labuan IBFC.

Sementara itu, Ketua Pengarah Labuan FSA Nik Mohamed Din Nik Musa menekankan kepentingan kelestarian untuk reputasi dan daya saing Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC).

"Dengan mengamalkan prinsip ESG, Labuan IBFC akan dapat mengukuhkan keterlihatan pasarannya seiring dengan piawaian antarabangsa yang diamalkan oleh negara-negara dengan peraturan kewangan yang serupa (peer jurisdictions)."

"Pemimpin persatuan industri menekankan kepentingan kerjasama dalam menetapkan keutamaan ESG dan membangunkan strategi untuk mempercepatkan peralihan kelestarian Labuan IBFC," katanya.

Nik Mohamed Din berkata JWG LiFE merancang untuk mengembangkan keahliannya merangkumi sektor penyewaan, perdagangan komoditi antarabangsa serta institusi kewangan digital yang menyasarkan rangkuman pasaran lebih luas dan memberi impak lebih besar.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385189