DUNIA

KSGAAL Lancar Ujian Ukur Tahap Penguasaan Bahasa Arab

21/01/2025 06:51 PM

Oleh Badrul Aini Sha'ari

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Akademi Bahasa Arab Antarabangsa Raja Salman (KSGAAL) melancarkan ujian “Hamzah” bagi mengukur tahap penguasaan kemahiran berbahasa Arab dalam kalangan pelajar bukan penutur asli.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agungnya Dr Abdullah Saleh al-Washmi ketika merasmikan Bulan Bahasa Arab di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam.

Beliau berkata Ujian Hamzah yang akan dijalankan secara dalam talian ini setara dengan Ujian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Asing (TOEFL) dengan mengguna pakai piawaian Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR).

Antara aktiviti-akiti sepanjang program Bulan Bahasa Arab di Malaysia yang bermula pada 2 Jan adalah pertandingan syair, penulisan khat, forum ilmiah serta kursus intensif Bahasa Arab untuk pensyarah, guru dan pelajar universiti tempatan.

“Selain Malaysia, Bulan Bahasa Arab turut diadakan di beberapa negara ketika ini, seperti Mali, Kazakhstan, Argentina, Indonesia, China, Brazil dan sebagainya,” katanya.

Turut hadir Kuasa Usaha Atase Kebudayaan Arab Saudi Mohammed Abdullah al-Sahli, ahli akademik dan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan.

Di samping itu, al-Washmi juga mengalu-alukan penyertaan pelajar Malaysia untuk mempelajari bahasa Arab di Markaz Abjad seliaan KSGAAL selama lapan bulan, selain program penerapan bahasa selama dua bulan di Arab Saudi.

KSGAAL sebelum ini turut menganjurkan program Bulan Bahasa Arab dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) awal tahun ini.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385200