AM

SPRM Beku Lebih RM116 Juta Aset Tahun Lepas - Azam Baki

21/01/2025 07:13 PM

PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan lebih RM116 juta aset sepanjang tahun lepas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Dalam sidang media khas di sini hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya turut menyita pelbagai aset bernilai lebih RM97 juta menerusi pelbagai operasi bagi tempoh sama.

Beliau berkata statistik turut merekodkan sebanyak 1,163 kes melibatkan nilai kompaun berjumlah RM60.82 juta

“SPRM turut melucut hak aset bernilai lebih RM12 juta dan merekodkan nilai kompaun sebanyak RM60,824,” katanya.

Beliau berkata tindakan pelucutan hak itu dilaksanakan di bawah pelbagai kaedah undang-undang termasuk Kanun Tatacara Jenayah, Akta Pengubahan Wang Haram 2001 dan Akta SPRM 2009.

Azam berkata sepanjang 2024, SPRM telah menahan 1,334 individu dan 453 daripada jumlah itu telah dituduh di mahkamah. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385226