SEGAMAT, 28 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat menahan seorang individu kerana kesalahan memberi rasuah, semalam.
Menurut sumber, suspek lelaki yang berumur 30 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat kira-kira pukul 3 petang.
Difahamkan, suspek telah ditahan anggota polis ketika pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang dinaiki bersama empat rakan lain dan semakan kad pengenalan kesemua individu itu mendapati mereka mempunyai rekod lampau dadah serta jenayah.
“Pemeriksaan lanjut dibuat terhadap badan dan kenderaan yang dinaiki menjumpai pelbagai jenis dadah dan alatan yang disyaki untuk jenayah pecah rumah.
“Semasa proses tangkapan, suspek telah menyogok anggota polis dan memberikan wang rasuah sebanyak RM18,500 dan meminta untuk tidak ditangkap,” kata sumber itu hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA