PASARAN

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar US

21/01/2025 07:36 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar US hari ini kebanyakannya didorong oleh ucapan sulung Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-47 semalam, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.4730/4780 berbanding dolar US daripada 4.4910/4960 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bahawa pentadbiran Trump kelihatan cenderung untuk menaikkan kadar faedah dalam pendekatannya terhadap perdagangan antarabangsa.

Bagaimanapun, ia akan dikawal kerana mereka akan menilai semula keadaan semasa seperti pematuhan China terhadap perjanjian perdagangan Fasa Satu yang ditandatangani pada Januari, 2020, pada perjanjian itu China sepatutnya mengimport barangan dan perkhidmatan bernilai US$200 bilion dari Amerika Syarikat (AS).

“Jelas sekali, perjanjian ini tidak dipenuhi dan adalah alasan untuk mengenakan tarif,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau melihat cadangan tarif Trump ke atas China sebagai taktik untuk membawa China ke meja rundingan bagi mendapatkan tawaran perdagangan yang lebih baik.

“Kami berpendapat bahawa pentadbiran AS sekarang tidak mahu mensabotaj ekonominya sendiri ketika kadar pengangguran dan inflasinya rendah.

“Berdasarkan itu, ringgit boleh meningkat semula dalam tempoh terdekat tetapi sentimen berhati-hati akan terus berlaku kerana kita akan melihat lebih banyak pengumuman daripada Presiden AS nanti.

“Bagaimanapun, tabiat Trump menggunakan media sosial sebagai cara untuk mengumumkan langkah kerajaan boleh mengakibatkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan,” katanya.

Pada penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding euro kepada 4.6291/6343 daripada 4.6307/6358 ketika ditutup pada Isnin dan melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.8691/8725 daripada 2.8741/8774 semalam bagaimanapun merosot berbanding pound Britain kepada 5.4781/4842 daripada 5.4723/4784 sebelumnya.

Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 273.6/274.1 daripada 274.3/274.8 semalam dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.66 daripada 7.67/7.68 sebelum itu.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 13.1123/1347 daripada 13.0948/1155 pada Isnin manakala hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.2899/2941 daripada 3.2899/2938 sebelumnya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385244