AM

MPOGCF Belanja Lebih RM1 Juta Konservasi Harimau Malaya

21/01/2025 08:32 PM

KUANTAN, 21 Jan (Bernama) -- Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) telah membelanjakan sebanyak RM1.7 juta setakat ini daripada jumlah keseluruhan peruntukan RM3.18 juta bagi tempoh lima tahun, iaitu 2021 hingga 2026 dalam usaha konservasi Harimau Malaya. 

MPOGCF dalam kenyataan hari ini memaklumkan dana berkenaan merangkumi pelbagai usaha pemeliharaan Raja Rimba itu, seperti pembiayaan makanan dan ubatan, penyelidikan serta program pembangunan kapasiti yang bertujuan meningkatkan modal insan petugas di pusat konservasi.

MPOGCF memberitahu usaha ini juga termasuk Program Pengayaan Habitat Harimau Malaya yang berlangsung di Pusat Konservasi Harimau Malaysia (MTCC), Lanchang hari ini yang turut membabitkan kerjasama Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

“Inisiatif Program Pengayaan Habitat Harimau Malaya ini adalah sebahagian daripada Program Konservasi Harimau Malaya yang bertujuan memulihara dan meningkatkan populasi spesies ini secara ex-situ.

“Program ini melibatkan aktiviti penanaman 95 batang pokok pelbagai spesies antaranya Jelutong, Pulai, Meranti Tembaga dan Tembusu yang merupakan langkah penting untuk memastikan kurungan harimau di MTCC berada dalam keadaan kondusif, seperti habitat semula jadinya,” menurut kenyataan itu.

Program yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan turut dihadiri Pengurus Besar MPOGCF Hairulazim Mahmud ini bertujuan meningkatkan keberkesanan proses rehabilitasi dan pemuliharaan semula harimau serta mempersiapkan haiwan ini untuk kembali ke habitat asal dengan lebih berdaya tahan.

“Program Konservasi Harimau Malaya menjadi bukti komitmen industri sawit Malaysia dalam menyokong pemuliharaan alam sekitar dan konservasi biodiversiti.

“Aktiviti penanaman pokok pula, membantu memperkaya lagi ekosistem di MTCC sekali gus menjadikannya lebih lestari untuk jangka masa panjang,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385252