AM

Kerjasama Sunway University, Fondation Hoffmann Tangani Cabaran Kesihatan Di Asia Tenggara

21/01/2025 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Sunway University dan Fondation Hoffmann menjalin kerjasama menerusi perjanjian geran di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, sekali gus menandakan pelancaran kerjasama transformatif untuk menangani cabaran kesihatan yang dihadapi Asia Tenggara.

Sunway University dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek itu bertujuan merintis penyelesaian baharu bagi krisis alam sekitar dan kesihatan awam yang saling berkait di rantau ini susulan gabungan ekonomi sepuluh negara ASEAN, menjadikannya ekonomi kelima terbesar dunia mewakili kira-kira 670 juta pengguna.

"Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di seluruh Asia Tenggara dijangka melebihi purata global untuk beberapa tahun akan datang. Ia adalah wilayah yang bertenaga, menempatkan beberapa negara yang paling berciri biodiversiti di dunia.

Bagaimanapun, di sebalik kemajuannya, terdapat risiko berlakunya bencana alam sekitar dengan dampak yang dahsyat dan semakin teruk terhadap kesihatan dan kesejahteraan penduduknya," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, geran Fondation Hoffmann merupakan pencapaian penting bagi Selatan Global memandangkan kerana ia merupakan geran pertama yang diberikan kepada sebuah institusi di rantau ini, berdasarkan sokongannya terhadap institusi terkenal di seluruh dunia.

Sunway University menjelaskan kolaborasi strategik itu menumpukan pada memajukan penyelidikan, advokasi dan pembangunan kapasiti dalam tiga bidang penting, seperti melatih wartawan dan pempengaruh media, menangani jurang tadbir urus dan transformasi perniagaan.

"Ia menggariskan peranan penting perniagaan, media dan tadbir urus dalam mewujudkan masa depan yang mampan, menekankan bahawa mereka merupakan pemacu utama perubahan untuk mengurangkan krisis alam sekitar dan kesihatan yang mengancam rantau ini,” tambahnya.

Perjanjian geran berjumlah CHF 3.4 juta (kira-kira RM17 juta) telah ditandatangani pada majlis yang diadakan di Khemah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di WEF oleh Presiden Fondation Hoffmann André Hoffmann dan Pengarah Eksekutif Sunway Center for Planetary Health Prof Dr Jemilah Mahmood bagi pihak Sunway University. 

Dr Jemilah dalam kenyataan sama berkata “geran ini adalah pengubah keadaan (game changer). Melalui perkongsian kami dengan Fondation Hoffmann, kami menyasarkan untuk membina kapasiti serantau, memupuk penyelesaian inovatif dan memberikan inspirasi untuk melaksanakan tindakan kepada kalangan perniagaan, penggubal dasar dan komuniti di seluruh Asia Tenggara,”.

Beliau menambah, "kami amat berbangga kerana menjadi universiti pertama di rantau ini yang diiktiraf sebagai peneraju dalam kesihatan planet dan amat berbesar hati kerana diamanahkan dengan kerjasama geran ini."

Sementara itu, André Hoffmann berkata kerjasama dengan Sunway University yang merupakan institusi dinamik daripada Selatan Global merupakan pencapaian signifikan memandangkan usaha sama itu merangkumi komitmen teguh mereka untuk memperjuangkan inisiatif transformatif yang mengutamakan kesihatan planet, agar dapat menangani cabaran kritikal global terutamanya di rantau ASEAN.

"Kami berbangga dapat secara aktif menyokong institusi pendidikan berprestij di seluruh dunia dalam penyelidikan dan inisiatif kolaboratif, termasuk INSEAD dan Geneva Graduate Institute, antara lain,” kata André Hoffmann.

Fondation Hoffmann ialah organisasi berasaskan kedermawanan antarabangsa ditubuhkan untuk memupuk penyelesaian inovatif bagi pembangunan mampan ke arah menangani cabaran global dan menambah baik kehidupan di seluruh dunia menerusi perkongsian strategik.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385267