SUKAN

Lebih 19 Individu Minat Jawatan CEO ISN - Hannah

21/01/2025 09:05 PM

SHAH ALAM, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengenal pasti beberapa calon bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) untuk menggantikan Ahmad Faedzal Md Ramli yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 24 Feb ini.

Menterinya Hannah Yeoh berkata pihaknya kini menerima lebih 19 permohonan untuk jawatan tersebut, melibatkan penjawat awam dan orang awam dari pelbagai latar belakang.

“Sejak kami membuka iklan, kami telah menerima banyak permohonan. Saya juga telah mengadakan sesi 'townhall' bersama pengurusan tertinggi ISN untuk mendengar pandangan daripada mereka.

“Kami akan mengadakan sesi temu duga yang akan dikendalikan oleh Ketua Setiausaha KBS Datuk Dr. K. Nagulendran. Kami ingin memastikan kesinambungan perkhidmatan ISN bagi memastikan tidak berlaku sebarang gangguan terhadap persiapan atlet untuk temasya sukan yang akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Faedzal, yang memulakan perkhidmatannya sebagai CEO ISN pada 25 Feb 2019, berkata beliau tidak akan melanjutkan perkhidmatannya kerana tertakluk kepada peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Hannah berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan kenderaan oleh Chery Malaysia kepada pemenang pingat Sukan Paralimpik Paris 2024 yang menerima tawaran diskaun daripada syarikat pengeluar kereta tersebut di sini hari ini.

Menerusi tawaran diskaun itu, pemenang emas iaitu jaguh badminton Cheah Liek Hou dan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustiin menerima diskaun 50 peratus, manakala pemenang pingat perak acara lontar peluru, Ziyad Zolkefli, menerima diskaun 30 peratus untuk pembelian kereta daripada jenama itu.

Liek Hou memilih kenderaan elektrik Chery Omoda E5 berharga RM146,800, Bonnie yang tidak hadir ke majlis berkenaan memilih kenderaan utiliti sukan (SUV), Chery Tiggo 8 Pro berharga RM156,800, manakala Ziyad memilih model Chery Omoda 5 berharga RM99,800.

“Saya berterima kasih kepada Chery kerana membantu saya memiliki kereta elektrik pertama saya. Diskaun ini membantu mengurangkan beban kewangan saya.

“Saya merancang untuk menggunakan kereta ini sebagai kenderaan harian untuk menghadiri sesi latihan dan sebagainya,” kata Liek Hou.

Sementara itu, Ziyad turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak Chery Malaysia kerana sudi memberi diskaun untuk membolehkan beliau membeli kereta idamannya.

“Apabila saya mengetahui saya mendapat diskaun ini, saya segera mengambil peluang ini. Saya akan menggunakannya sebagai kenderaan harian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385288