JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Lelaki Didenda RM4,800, Simbah Cat Merah Pada Rumah Dan Kereta

20/11/2024 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Seorang mekanik dan juruteknik masing-masing didenda RM4,800 oleh dua Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan menyimbah cat pada dua buah rumah dan kereta milik dua individu, pada 4 Nov lepas.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap Teo Hong Li, 41, dan Tang Leang Yee, 33, manakala Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Siam mengenakan denda RM1,800 ke atas kedua-dua lelaki itu dan mereka diperintah dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.

Di hadapan Aina Azahra, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat warna merah pada lantai, pintu pagar dan kereta milik seorang jurujual wanita berusia 36 tahun melibatkan kerugian RM2,000 di sebuah rumah di Desa Setapak, Wangsa Maju di sini pada 3.10 petang, 4 Nov lepas.

Di hadapan Atiqah pula, mereka didakwa atas pertuduhan sama dengan menyimbah cat pada rumah dan kereta milik seorang penyelia lelaki berusia 36 tahun membabitkan kerugian RM1,000 di sebuah rumah di Desa Setapak, Wangsa Maju di sini pada masa, tarikh dan seksyen sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian kedua-dua mangsa menyedari rumah dan kenderaan mereka disimbah cat berkenaan selain terdapat nota catatan ugutan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal dan Hench Goh memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum atas alasan mereka mempunyai tanggungan keluarga. 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy