Percutian menaiki motorhome atau karavan, sejenis kenderaan rekreasi (RV) yang dilengkapi ruang seperti sebuah rumah kecil, semakin popular di Malaysia, menyaksikan industri itu bertumbuh pesat terutamanya selepas penularan COVID-19.
Berpunca daripada sekatan perjalanan antarabangsa, rakyat mencari alternatif untuk percutian domestik bagi seisi keluarga. Antara pilihan utama mereka ialah berkhemah, namun ada pula yang mahukan keselesaan seperti berada di rumah.
Lantas, pilihan terbaik mereka ialah karavan, kongsi usahawan karavan Ahmad Hazwan Zahari kepada Bernama.
SELESA, IBARAT DI RUMAH
Mengimbas kembali penglibatannya dalam bidang itu, pemilik syarikat pengimport karavan Karysma Motorhomes ini, berkata beliau menceburi perniagaan tersebut pada 2021 selepas mengalami kesukaran menempah bilik hotel.
“Pada ketika itu saya menjalankan perniagaan kedai jahit dan perlu menghantar barang-barang jahitan ke tempat yang jauh. Namun ketika itu ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan amat sukar untuk menempah bilik hotel, menyebabkan ada ketikanya saya terpaksa tidur di dalam kereta.
“Saya terfikir, alangkah baiknya jika ada ada motorhome yang lengkap dengan tandas, katil dan lain-lain,” katanya yang membeli karavan pertama berharga RM50,000 tidak lama kemudian.
Bagi mempromosikan kelebihan bercuti menaiki karavan, Ahmad Hazwan, 39, memuat naik video ke laman YouTube dan berjaya menarik perhatian orang ramai.
“Ketika itu saya dapati orang ramai kurang mengetahui tentang kegiatan ini, jadi saya rebut peluang tersebut dan promosikan aktiviti melancong dengan motorhome. Dari situ, ramai yang menghubungi saya bertanya tentang cara memiliki karavan,” jelasnya, berkongsi tentang permulaan Karysma Motorhomes.
SEMAKIN POPULAR
Melihat peningkatan permintaan terhadap RV terutama pasca-PKP, usahawan ini mengembangkan perniagaannya dengan mengimport kenderaan itu dari pelbagai negara, antaranya Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Hari ini, Karysma Motorhomes adalah antara peneraju industri karavan di Malaysia, menawarkan pelbagai jenis RV bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Menurut Ahmad Hazwan, beliau pernah merekodkan jualan hingga 10 unit karavan sebulan, dan setakat ini syarikatnya menjual lebih 250 unit kenderaan itu.
"Kebanyakan pelanggan yang membeli motorhome ini ialah golongan pesara, keluarga dengan anak kecil dan usahawan. Bagi golongan muda pula, mereka lebih gemar menyewa kerana harga RV, baik terpakai ataupun baharu, agak tinggi iaitu dalam lingkungan RM100,000 ke atas,” katanya, menambah syarikat beliau turut menyediakan perkhidmatan RV sewaan dengan kadar sekitar RM700 sehari.
Bagi menambah nilai kepada perniagaannya, Ahmad Hazwan mewujudkan pasukan mekanik sendiri yang menawarkan perkhidmatan baik pulih termasuk melengkapi karavan dengan kemudahan seperti panel solar, peti ais dan lain-lain.
Kos baik pulih bergantung pada jenis RV dan boleh mencecah hingga RM20,000, katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui terdapat beberapa cabaran untuk membeli karavan, kerana hingga kini tidak ada institusi kewangan di negara ini yang menawarkan pembiayaan bagi pembelian kenderaan jenis itu.
“Ringkasnya, pembelian RV ini adalah secara tunai. Selain itu, membeli motorhome terpakai dari luar negara juga ada risiko, kerana biasanya pembekal hanya akan kongsikan gambar atau video, tetapi keadaan sebenar cuma dapat dilihat selepas kenderaan tiba di Malaysia,” jelasnya.
SEMARAKKAN EKONOMI TEMPATAN
Dari segi spesifikasi, RV yang popular di Malaysia biasanya dilengkapi kemudahan seperti tandas, peti ais, penyaman udara, televisyen, katil, meja makan dan dapur gas.
"Uniknya, motorhome bukan sahaja memberi keselesaan tetapi juga mengeratkan hubungan keluarga kerana mereka menghabiskan masa bersama dalam ruang yang kecil. Kenderaan ini menawarkan sebuah pengalaman yang sangat berbeza berbanding penginapan di hotel ataupun inap desa," tambahnya.
Selain menjalankan perniagaan, Ahmad Hazwan turut aktif mempromosikan pelancongan domestik melalui Persatuan Campervan dan Motorhomes Malaysia selaku setiausaha persatuan itu.
Persatuan yang ditubuhkan pada 2021 ini turut menganjurkan pelbagai kegiatan, antaranya perhimpunan mingguan di lokasi-lokasi menarik di seluruh negara dan aktiviti kemasyarakatan seperti bantuan banjir serta jelajah masjid.
"Satu program yang paling saya ingat ialah perhimpunan di Langkawi baru-baru ini. Kami berjaya mengumpulkan lebih 200 motorhomes dan campervans dengan lebih 1,000 peserta. Program seperti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memberi impak ekonomi kepada masyarakat setempat," katanya.
Menurut beliau lagi, persatuan itu juga menerima sokongan daripada agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Langkawi dan Tourism Malaysia.
“Sebagai contoh, kami menerima geran RM30,000 untuk perhimpunan di Langkawi yang membantu menjana pulangan berganda kepada komuniti setempat melalui pembelian bahan api, makanan dan sokongan kepada bengkel kereta.
"Kami melihat gerakan ini sebagai cara untuk mempromosikan pelancongan domestik dan membantu industri setempat," jelasnya.
Bagaimanapun beliau mengakui masih banyak perlu ditambah baik bagi menyokong industri itu, termasuk penyediaan lebih banyak tapak perkhemahan yang lengkap dengan kemudahan asas.
“Selain itu, kadar cukai import yang tinggi pada 35 peratus mungkin boleh dikurangkan kerana ini menjadikan pembelian motorhome lebih mahal di Malaysia berbanding negara lain. Isu lain termasuk kekurangan perlindungan insurans dan pembiayaan pembelian.
"Memang benar industri motorhome di Malaysia masih baharu berbanding negara luar, tetapi ia mempunyai potensi besar. Dengan sokongan yang betul, termasuk pinjaman bank dan dasar yang memudahkan import, kita mampu melonjakkan sektor ini ke tahap lebih tinggi," katanya.
PENGALAMAN UNIK BERSAMA KELUARGA
Sementara itu, seorang bapa kepada lima anak menggambarkan pengalaman pertamanya menyewa karavan selama empat hari tiga malam sebagai sesuatu yang tidak dapat dilupakan dan sangat praktikal untuk keluarga besarnya.
Bercerita tentang perjalanannya ke Terengganu, Pulau Pinang dan Perak baru-baru ini, Shahrul Amin Abdullah, 39, berkata kemudahan yang ada dalam karavan, memberikan pengalaman perjalanan yang berbeza buat keluarganya.
“Saya masih ingat ketika singgah di pantai Teluk Bahang, Pulau Pinang untuk menikmati suasana deburan ombak dan angin laut yang menyegarkan. Di situ juga terdapat empangan dan hutan simpan Teluk Bahang, namun agak sukar untuk dapatkan penginapan baik di inap desa atau hotel kerana kawasan itu merupakan tumpuan pelancong.
"Jadi dengan menyewa motorhome yang turut dilengkapi katil dan tandas, perjalanan jadi lebih mudah. Anak-anak boleh tidur atau gunakan tandas tanpa perlu berhenti di kawasan R&R. Kalau jalan sesak sekalipun kami boleh berhenti tepi jalan untuk berehat sekejap,” kata pegawai polis dari Selangor ini.
Tambahnya, ruang di dalam RV yang luas membuatkan anak-anaknya selesa untuk bermain dan berehat.
“Kami juga tidak perlu lagi bersusah payah angkut barang-barang naik ke bilik hotel seperti sebelum ini,” katanya yang turut berpuas hati dengan penyediaan panel solar pada karavan yang disewanya.
“Dulu kena cari tempat untuk cucuk palam elektrik untuk kita guna mana-mana peranti yang memerlukan elektrik, tapi sekarang lebih mudah. Saya sangat berpuas hati dengan peningkatan ini,” jelasnya.
Merancang untuk memandu RV ke destinasi lebih jauh seperti Thailand pada masa akan datang, lelaki ini mengesyorkan percutian menaiki karavan bagi mereka yang mempunyai keluarga besar sepertinya.
“Semua orang boleh bersantai, bermain atau berbaring sepanjang perjalanan. Saya memang syorkan kepada sesiapa yang mahu pengalaman perjalanan yang unik dan bebas tekanan,” katanya, menambah pemanduan RV juga tidak memerlukan lesen khas, sebaliknya memadai lesen memandu Kelas D.