JENAYAH & MAHKAMAH

Pengurus Syarikat Rugi RM6.1 Juta Terpedaya Pelaburan Tidak Wujud

17/01/2025 11:54 PM

SHAH ALAM, 17 Jan (Bernama) -- Seorang pengurus sebuah syarikat swasta berputih mata apabila kerugian RM6.1 juta akibat terpedaya dengan jenayah penipuan pelaburan tidak wujud dikenali sebagai ‘K-33 Investor Club’. 

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa berusia 64 tahun itu mengetahui mengenai tawaran pelaburan tersebut menerusi iklan di laman Facebook dan telah dihubungkan dengan seorang tenaga pengajar kumpulan pelaburan terbabit yang memperkenalkan diri sebagai Raymond Goh. 

Beliau berkata mangsa diberi penerangan berhubung pelaburan sebelum dimasukkan ke satu kumpulan perbualan WhatsApp dan telah melakukan aktiviti pelaburan di bawah kumpulan itu selama lebih kurang dua minggu. 

"Suspek (Raymond Goh) telah meminta mangsa mendaftar sebagai pelabur baharu di platform 'Digzax.com', dengan mangsa melakukan sembilan transaksi berjumlah RM6.1 juta ke lima jenis akaun bank yang berbeza. 

"Setelah semua transaksi dibuat, mangsa mendapati keuntungannya hampir RM28.9 juta di platform itu namun ketika ingin membuat pengeluaran wang keuntungan tersebut dia perlu membayar pelbagai bayaran cukai menyebabkan mangsa rasa ditipu," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, Hussein menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah khususnya melalui aplikasi yang tidak diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). 

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2383995