KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pasaran sukuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dijangka melepasi paras tertunggak US$50 bilion (US$1=RM4.46) pada 2025, kata Fitch Ratings.
Agensi penarafan itu berkata pasaran berkenaan akan kekal sebagai antara mekanisme pendanaan penting bagi dolar dalam pasaran kewangan Islam di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Malaysia dan Indonesia.
Sukuk juga berperanan penting sebagai mekanisme pembiayaan ESG bagi pasaran sedang pesat membangun dengan kira-kira 20 peratus daripada bahagian terbitan hutang dolar ESG untuk pasaran berkenaan pada 2024 (termasuk China) dan bon-bon lain, kata Fitch Ratings menerusi komentar tindakan bukan penarafannya hari ini.
“Pemacu pertumbuhan itu termasuk pendanaan matlamat pempelbagaian, peraturan berkaitan, inisiatif kemampanan dan sasaran sifar bersih oleh negara-negara, bank, korporat dan entiti berkaitan kerajaan.
“Sukuk ESG juga berkemungkinan melepasi 15 peratus daripada terbitan sukuk dalam dolar bagi jangka pertengahan (2024 : 12.3 peratus),” katanya.
Sementara itu, Ketua Perbankan Islam Global Fitch Ratings Bashar Al Natoor berkata pasaran sukuk ESG itu mempunyai kredit profil yang mantap dengan hampir semua sukuk dengan penarafan ESG adalah gred pelaburan.
“Sukuk kini menjadi mekanisme pendanaan utama ESG di pasaran pesat membangun dengan unjuran pertumbuhannya di tengah-tengah inisiatif pendanaan, keperluan pendanaan dan persekitaran yang positif.
“Bagaimanapun, tumpuan terbitan itu kekal di segelintir negara,” katanya.
Menurut agensi penarafan itu, sukuk ESG global pada 2024 berkembang sebanyak 23 peratus tahun ke tahun dengan nilai tertunggak US$45.2 bilion yang mengatasi bon ESG global yang meningkat sebanyak 16 peratus.
“Sukuk ESG itu turut mengatasi kadar pertumbuhan sukuk global manakala sukuk hijau dan mampan dapat membantu penerbit memanfaatkan permintaan pelabur antarabangsa peka ESG dari Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia serta pelabur Islam yang menumpukan sukuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Pasaran modal hutang ESG (dolar AS) mencecah nilai tertunggak US$46.3 bilion di negara-negara GCC dengan 44 peratus daripadanya adalah dalam sukuk," katanya.
Fitch Ratings berkata Nasdaq Dubai menjadi lokasi penyenaraian utama terbesar untuk sukuk ESG yang mewakili 35 peratus daripada jumlah tertunggak global pada akhir 2024.
"Risiko pertumbuhan pasaran sukuk ESG termasuk kekompleksan pematuhan Syariah seperti yang dikaitkan dengan 'AAOIFI Shariah Standard No 62,' kelemahan pemacu kemampanan, risiko geopolitik serta ketidaktentuan berkaitan minyak,” katanya.
-- BERNAMA