DUNIA

Lelaki Maut, Dua Cedera Dalam Insiden Tikaman Rambang Di Nagano, Jepun

23/01/2025 03:24 PM

NAGANO (Jepun), 23 Jan (Bernama-Kyodo) -- Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam insiden tikaman rambang berhampiran Stesen JR Nagano pada Rabu  malam, lapor agensi berita Kyodo yang memetik kenyataan polis tempatan dan pihak bomba.

Penyerang yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan senjata tajam kini sedang diburu polis. Sumber penyiasat menyatakan bahawa suspek dipercayai menyasarkan mangsa secara rambang.

Ketiga-tiga mangsa diserang ketika sedang menunggu bas berhampiran stesen itu. Seorang daripada mangsa, Hiroyoshi Maruyama, 49, mengalami luka akibat ditikam pada bahagian kiri badan dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya, menurut pihak berkuasa.

Perkhidmatan kecemasan dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira 8.05 malam itu selepas seorang pemanggil melaporkan seorang lelaki tidak sedarkan diri selepas serangan itu.

Seorang lelaki dalam lingkungan 30-an mengalami kecederaan serius akibat ditikam di bahagian belakang, manakala seorang wanita berusia 30-an cedera selepas diserang dan terjatuh, menurut pegawai.

Polis memaklumkan bahawa seorang saksi menggambarkan suspek sebagai lelaki bertubuh kurus dalam lingkungan 40-an, dengan ketinggian antara 165 hingga 175 sentimeter.

Suspek memakai cermin mata dan menutup kepalanya dengan kain putih. Lelaki itu kali terakhir dilihat melarikan diri ke arah selatan menuju ke kawasan pusat bandar Nagano.

Polis masih meneruskan operasi memburu penyerang itu.

-- BERNAMA-KYODO

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2385873