KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Anime Jepun yang bertapak kukuh di Malaysia telah mewujudkan kelompok peminat daripada pelbagai latar belakang, yang bukan hanya menghayati watak-watak animasi, fesyen dan jalan cerita yang kompleks, tetapi juga menghargai muzik menyentuh jiwa yang menjadi runut bunyi ikonik siri anime kegemaran mereka.
Justeru, peluang menyaksikan persembahan dua orang artis anime Jepun legenda Suzuki Konomi dan vokalis KIHOW daripada kumpulan pop-rock MYTH & ROID - terkenal dengan lagu-lagu tema anime ikonik mereka - dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan peminat mereka di sini.
Suzuki Konomi dan KIHOW, dikenali menerusi sumbangan mereka kepada siri anime televisyen popular Re:ZERO - Starting Life in Anoither World, memukau penonton dengan persembahan bertenaga secara langsung di sini pada 22 Dis lepas.
Teruja dengan sambutan hangat itu, Suzuki Konomi dan KIHOW yang masing-masing datang ke Malaysia buat kali kedua, meluahkan penghargaan kepada peminat di Malaysia atas sokongan tidak berbelah bagi.
Mengimbas kembali kunjungan kali pertamanya ke Malaysia pada 2022, artis kelahiran Osaka, Suzuki Konomi berkata sambutan hangat peminat Malaysia pada ketika itu, sekalipun ada kekangan pandemik COVID-19, tidak pernah diterimanya sebelum ini dan membuatkan beliau jatuh hati pada Malaysia.
“Sekalipun pada masa itu dikenakan penjarakan fizikal dan sekatan-sekatan (lain), penonton tetap bersorak meriah, sesuatu yang tidak dilihat di Jepun sejak bermulanya pandemik,” katanya pada sidang media sebelum konsert itu.
Konsert itu diadakan bersempena dengan Pesta Komik 2024 yang berlangsung pada 21 dan 22 Dis, satu daripada acara berkaitan anime, komik dan permainan terbesar, dianjurkan secara bersama oleh The Japan Foundation Kuala Lumpur; jawatankuasa eksekutif Comic Fiesta dan Kedutaan Jepun di Malaysia.
pic-2
Suzuki Konomi berkata persembahan beliau di Malaysia sebelum ini meninggalkan kesan yang mendalam padanya.
Untuk 2025, penyanyi yang pernah memenangi All-Japan Anime Song Grand Prix Final ke-5 pada 2011 itu sedang melakukan persiapan untuk siri jelajah global, selepas berjaya masalah mengatasi masalah pita suara yang dihadapinya semasa musim kedua Re:ZERO pada 2020.
Bagi KIHOW pula, vokalis MYTH & ROID ini menyifatkan konsert pertamanya di Malaysia pada 2018 sebagai “luar biasa” dengan para penonton turut menyanyi penuh perasaan, hampir menenggelamkan bunyi muzik.
“Terima kasih Malaysia kerana memberikan saya pengalaman itu dan juga galakan untuk terus mara,” kata KIHOW.
MYTH & ROID mencipta nama menerusi lagu-lagu tema beberapa penerbitan anime yang popular dan video muzik serta kandungan kumpulan ini menerima lebih 150 juta tontonan.
-- BERNAMA