KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk menurunkan pasukan yang terdiri daripada pemain yang sedang meningkat untuk Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia di Qingdao, China dari 11-16 Feb.
Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai, yang layak ke separuh akhir Terbuka Malaysia dan India Masters, menjadi satu-satunya pasangan berpengalaman menyertai satu lagi beregu campuran iaitu Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
Pengarah Kejurulatihan BAM Rexy Mainaky yang mengumumkan barisan pemain hari ini, menekankan gabungan strategik berpengalaman dan bakat muda untuk kejohanan itu.
Pemain ke-27 dunia Leong Jun Hao dan Justin Hoh (53), akan mewakili perseorangan lelaki tanpa penyertaan pemain profesional Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong, manakala K. Letshanaa (59) dan Wong Ling Ching (95) pula untuk perseorangan wanita.
Pasangan ke-13 dunia Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi (20) membawa cabaran tugas beregu lelaki, manakala beregu wanita pula diwakili Teoh Mei Xing-Go Pei Kee (66) dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui.
Ini bermakna pemain-pemain terbaik negara termasuk pemenang dua kali pingat gangsa Olimpik Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (campuran beregu), diketepikan daripada menyertai kejohanan itu.
“Selepas banyak pertimbangan, kami memilih pasukan yang seimbang, menggabungkan pengalaman senior dengan pemain pelapis untuk memberi mereka peluang. Jika bukan sekarang, bila lagi mereka akan mendapat peluang?”
“Pemain utama kami bersiap sedia untuk berhadapan kalendar yang padat dan kejohanan ini menyediakan platform yang sangat baik untuk pemain pelapis meningkatkan dan memperoleh pengalaman berharga,” kata Rexy dalam satu kenyataan.
Skuad Malaysia dijangka berdepan tugas berat di Qingdao selepas diundi dalam Kumpulan B menentang Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan. Hanya dua teratas akan mara ke peringkat kalah mati.
-- BERNAMA