PASIR MAS, 23 Jan (Bernama) -- Tindakan tegas pihak berkuasa menutup laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang di sini, memaksa pemilik jeti haram di kawasan itu memindahkan operasi mereka ke sebelah negara jiran sejak dua hari lepas.
Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata langkah itu, mencerminkan masyarakat setempat khususnya di kawasan sempadan, semakin akur dengan arahan larangan menyeberangi sempadan secara tidak sah yang dikuatkuasakan sejak 1 Dis tahun lepas.
“Tinjauan PGA mendapati enam pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang, termasuk dua yang terletak di tengah-tengah pekan, kini lengang selepas penguatkuasaan larangan itu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan masih terdapat individu tertentu terutamanya daripada negara jiran, yang cuba menyusup masuk ke Malaysia melalui laluan tidak sah.
Hasil tinjauan PGA hari ini, kami telah menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 67 tahun pada 12 tengah hari, selepas dia menyeberangi sempadan menggunakan pangkalan haram.
Lelaki itu memberi alasan bahawa namanya telah disenarai hitam oleh pihak berkuasa Malaysia,” katanya selepas meninjau kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sini, hari ini.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati aktiviti ekonomi di kawasan pangkalan haram turut terjejas akibat penutupan laluan haram.
Beberapa gerai kecil yang sebelum ini aktif beroperasi berhampiran pangkalan haram, kini tidak lagi beroperasi, manakala kawasan itu kelihatan lebih sunyi.
Antara pangkalan haram yang sering menjadi tumpuan untuk menyeberangi sempadan secara tidak sah ialah pangkalan haram pound dan MCA, yang sebelum ini kerap digunakan oleh penduduk.
-- BERNAMA