AM

9,500 Premis Di Melaka Dikesan Biak Nyamuk Aedes Tahun Lepas

23/01/2025 09:40 PM

MELAKA, 23 Jan (Bernama) -- Sebanyak 9.7 peratus atau 9,500 premis daripada keseluruhan 98,299 premis yang diperiksa di Melaka dikesan positif pembiakan nyamuk Aedes sepanjang tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Ruzita Mustaffa berkata premis yang diperiksa di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 itu bagi tujuan pencegahan dan kawalan demam denggi, membabitkan 7,756 kediaman dan 1,744 premis perniagaan.

Beliau berkata sebanyak 964 pemilik atau penduduk premis berkenaan dikenakan kompaun bernilai RM482,000.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 529 kompaun dibayar dengan nilai kutipan RM94,270 manakala 260 kes didaftar untuk tindakan mahkamah, selain 39 kes disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM11,810,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam sempena Tahun Baharu Cina 2025 di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh 1 hingga 18 Jan, sebanyak 626 premis daripada keseluruhan 6,157 premis yang diperiksa didapati positif pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 91 kompaun ditawarkan kepada pemilik atau penduduk premis dengan nilai RM45,500 manakala 39 kompaun bernilai RM5,030 telah dijelaskan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sepanjang tahun lepas juga sebanyak 50 premis terdiri daripada 42 kedai makan atau restoran diarah tutup sementara atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Dr Ruzita berkata 2,013 notis dikeluarkan manakala 1,372 kompaun bernilai RM440,550 turut ditawarkan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan terlibat.

"Secara keseluruhan, kita memeriksa sebanyak 6,047 premis makanan di seluruh Melaka manakala dalam tempoh 1 hingga 18 Jan tahun ini sebanyak 89 premis diperiksa dan dua daripadanya diarah tutup sementara," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386092