EKONOMI

Petronas Pindah Pengendalian PSC Kluster Kebabangan Kepada ConocoPhillips

24/01/2025 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Petronas telah memindahkan pengendalian Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kluster Kebabangan (KBBC PSC) kepada ConocoPhillips Sabah Gas Ltd, anak syarikat kepada syarikat tenaga global ConocoPhillips.

Pemindahan itu, melalui Pengurusan Petroleum Malaysia, berkuat kuasa pada 21 Jan, menjadikan ConocoPhillips Sabah Gas sebagai pengendali tunggal kluster medan minyak dan gas.

Sebelum ini, KBBC PSC dikendalikan oleh Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn Bhd (KPOC), syarikat operasi bersama terdiri daripada Petronas Carigali Sdn Bhd, Shell Energy Asia Ltd dan ConocoPhillips Sabah Gas Ltd.

“Dengan kapasiti eksport sehingga 750 juta kaki padu gas standard sehari, lanjutan KBBC PSC sehingga akhir 2050 dan perjanjian komersial lain telah disusun untuk memastikan pembangunan medan gas pada masa depan kekal menarik dari segi ekonomi dalam menyokong keperluan jaminan tenaga Sabah,” menurut Petronas dalam kenyataan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata negeri ini sedang berkembang pesat sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan minyak dan gas berikutan pembangunan yang strategik dan kerjasama daripada Petronas dan rakan industrinya.

“Inisiatif ini menekankan potensi besar sumber Sabah dan mengukuhkan komitmen kami untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang untuk rakyat.

“Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan Petronas demi kepentingan terbaik Sabah,” katanya.

Sementara itu, Petronas berkata pihaknya kekal dengan komitmennya untuk memastikan bekalan minyak dan gas yang optimum dan mampan untuk jaminan tenaga, dengan Pengurusan Petroleum Malaysia memainkan peranan penting dalam menguruskan pengaturan petroleum dan memastikan pengurusan yang baik untuk aktiviti petroleum huluan di Malaysia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386222