KOTA BHARU, 24 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan seramai 1,060 peserta akan menyertai Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) di seluruh negara pada tahun ini.
Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Komuniti KPKT Azizul Kamaredzuan Azizul Akimi berkata program berkenaan mampu meningkatkan kemahiran dan kualiti hidup kumpulan sasar iaitu golongan B40, sekali gus mengecilkan jurang kemiskinan bandar.
Beliau berkata program PEKB ini juga akan memberi pendedahan berkaitan digital bagi memastikan mereka (peserta) tidak ketinggalan dalam arus teknologi yang semakin berkembang pesat.
“Saya juga berharap badan bukan kerajaan (NGO) turut memberi sokongan kepada peserta untuk memasarkan perkhidmatan mereka dalam menjana pendapatan, sekali gus menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup PEKB 2025 bagi Kursus Pemprosesan Makanan Sejuk Beku dan menyampaikan sijil tamat kursus kepada 35 peserta di sini hari ini.
Azizul Kamaredzuan berkata seramai 16,955 peserta daripada golongan B40 telah dilatih menerusi pelbagai kursus yang ditawarkan kepada mereka seperti Kursus Jahitan, Kursus Dandanan Diri dan Kursus Baiki Telefon sejak PEKB diwujudkan pada 2013.
Peserta dari Kampung Pasir Pekan di Tumpat, Nur Hanani Azmi, 26, berkata program yang dianjurkan itu banyak memberi ilmu pengetahuan yang berguna untuk menjadi usahawan berjaya, selain berharap ia dapat diteruskan pada masa depan untuk membantu golongan B40 menjana pendapatan serta mengembangkan perniagaan yang diceburi.
-- BERNAMA