JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Tampar Kakitangan Puspakom Didenda RM1,600

24/01/2025 03:40 PM

JOHOR BAHRU, 24 Jan (Bernama) -- Seorang warga emas didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan kepada kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Cawangan Johor Bahru.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhi hukuman itu ke atas Koh Soon Hua, 60, dan memerintahkan lelaki itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Koh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Suzaini Mohd Taib, 38, di Puspakom Jalan Bertam, di sini pada 5.40 petang, 18 Nov tahun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam satu kenyataan pada 16 Jan lepas berkata suspek bertindak menampar kakitangan Puspakom itu selepas mendapati lorinya gagal dalam pemeriksaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386279