PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

24/01/2025 10:11 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Jumaat, didorong oleh jangkaan pengeluaran yang lemah dalam beberapa minggu akan datang sejajar dengan trend bermusim, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau berkata harga minyak mentah yang lebih tinggi pada waktu Asia juga meningkatkan sentimen pasaran.

"Kami mengesan paras sokongan pada RM4,150 satu tan dan paras rintangan pada RM4,330 satu tan," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Februari 2025 meningkat RM20 kepada RM4,488 satu tan, manakala Mac 2025 naik RM30 kepada RM4,350 satu tan.

Kontrak April 2025 bertambah RM26 kepada RM4,216 satu tan, Mei 2025 menokok RM14 kepada RM4,110 satu tan, dan Jun 2025 melonjak RM7 kepada RM4,052 satu tan. Kontrak Julai 2025 kekal tidak berubah pada RM4,025 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 108,617 lot daripada 82,557 lot pada sebelumnya, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 222,762 kontrak daripada 222,061 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan turun RM20 kepada RM4,550 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386465