EKONOMI

Ringgit Diunjur Cecah RM4.45 Berbanding Dolar AS Menjelang Akhir Tahun - Ahli Ekonomi

24/01/2025 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Ringgit dijangka bergerak mendatar, dengan unjuran bagi akhir tahun pada RM4.45 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli berkata pihaknya yakin ekonomi Malaysia mempunyai ruang yang mencukupi untuk berkembang dalam tempoh 12 bulan akan datang, sekali gus mengekalkan ringgit pada kedudukan yang agak baik berbanding mata wang serantau.

Beliau berkata selain itu, kitaran pelaburan sedang berlaku, yang boleh menjana pertumbuhan lebih positif dan produktiviti lebih tinggi pada masa depan, berbeza dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh ekonomi utama dan serantau lain.

“Sehubungan itu, kami berpendapat ringgit terus disokong dengan baik oleh prospek domestik yang positif,” katanya pada taklimat Prospek Makroekonomi anjuran Ambank Group di sini, Jumaat.

Dari segi monetari, komitmen Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras yang dianggap akomodatif, beserta dengan laluan pelonggaran Rizab Persekutuan AS (Fed) yang lebih perlahan daripada dijangkakan, sewajarnya mengekalkan perbezaan hasil yang agak terhad.

Firdaos berkata senario itu menjadi petanda baik bagi potensi kenaikan ringgit, terutama apabila mengambil kira metrik penilaian.

Beliau berkata ringgit masih terkurang nilai berdasarkan Kadar Pertukaran Efektif Sebenar (REER) dan belum kembali kepada nilai sebelum pandemik.

“Walaupun jika kita bandingkan paras semasa dengan purata prestasi sebelum ini iaitu sekitar 3.80 berbanding dolar AS (era ketika ringgit tidak lagi ditambat sejak 2004/2005), masih ada ruang untuk ringgit meningkat,” katanya.

Beliau berkata satu lagi peluang khusus yang boleh mengukuhkan mata wang tempatan adalah kemungkinan penukaran hasil eksport.

Deposit mata wang asing telah meningkat sejajar dengan kelemahan ringgit, dan sebarang langkah penghantaran balik hasil itu akan memberikan sokongan tambahan, katanya.

Firdaos berkata pihaknya menjangkakan BNM mengekalkan OPR semasa yang stabil sekurang kurangnya sehingga separuh pertama 2025, memandangkan pengekalan itu diteruskan sejak kali terakhir BNM menaikan OPR kepada 3.0 peratus pada Mei 2023.

Beliau berkata pendirian neutral semasa itu juga adalah selaras dengan penilaian BNM bahawa pendirian dasar monetari semasa menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, apabila kalangan bank pusat global meneruskan pelonggaran dasar monetari, kami yakin BNM akan mengekalkan ruang dasar yang mencukupi untuknya bertindak jika risiko negatif terhadap pertumbuhan semakin meningkat,” katanya

“Berdasarkan latar belakang ini, kadar seterusnya berkemungkinan juga dikurangkan berbanding dinaikkan walaupun ini berkemungkinan sukar direalisasikan sebelum suku ketiga 2025,” katanya.

Mengulas keadaan inflasi, beliau berkata ini dijangka kekal terkawal dalam jangka terdekat, di tengah-tengah kos pengeluaran yang terus mereda sebagaimana dibuktikan oleh penurunan atau deflasi pengeluar bagi tempoh tiga bulan berturut-turut sejak September 2024.

Bagaimanapun, tekanan inflasi itu berkemungkinan meningkat secara berperingkat menerusi 2025 ketika kesan asas tinggi mereda manakala faktor tolakan kos menjadi ketara.

Risiko peningkatan, katanya,  terutamanya seperti jangkaan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan 2025 dan kemungkinan kenaikan tarif tenaga elektrik mulai Julai 2025.

Beliau berkata RON95 dan tenaga elektrik masing-masing menyumbang 5.5 peratus dan 2.7 peratus daripada wajaran IHP.

Namun, katanya, impaknya dijangka mampu diurus apabila kerajaan memberi jaminan bahawa penyasaran subsidi akan hanya memberi kesan kepada kumpulan pendapatan 15 peratus teratas.

“Kita menjangkakan inflasi adalah purata dalam julat antara 2.5 peratus hingga 3.0 peratus pada 2025, sejajar dengan julat unjuran rasmi 2.0 peratus hingga 3.5 peratus.

“Selain itu, risiko inflasi tambahan berkemungkinan berpunca daripada potensi AS mengenakan tarif yang boleh meningkatkan kos import serta menaikkan lagi tekanan harga," katanya.

Mengulas dolar AS, Firdaos berkata mata wang itu berpotensi turun naik pada 2025 susulan faktor ketidaktentuan berkaitan Presiden Donald Trump, dasar monetari selain isu geopolitik. 

“Kita menjangkakan dolar AS kekal kukuh namun (pada masa sama) turut maklum wujudnya faktor yang boleh menjadikan sebaliknya. 

“Pada masa ini, misalnya, prestasi dolar AS menyamai era Trump 1.0 dan ini mungkin kekal tinggi untuk tempoh lebih lama pada kali ini," katanya.

Beliau berkata tindakan Rizab Persekutuan AS (Fed) melaksanakan penurunan kadar yang berterusan juga memaparkan perbezaan situasi semasa dan terdapat kebimbangan tarif Trump 2.0 akan meningkatkan kemungkinan konflik perdagangan yang kian ketara.

Ini, katanya, seterusnya mengukuhkan dolar AS yang mendapat permintaan kerana dilihat sebagai wang selamat. 

 Faktor lain yang sama pentingnya sebagai kunci pengukuhan dolar AS adalah prospek kenaikan inflasi di negara maju itu serta ketidaktentuan berkaitan dasar Fed.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386319