AM

UPM Fokus Lima Strategi Utama Untuk Melestarikan Pembangunan - Naib Canselor

24/01/2025 05:17 PM

SERDANG, 24 Jan – Universiti Putra Malaysia (UPM) menetapkan lima strategi utama untuk mengukuhkan kedudukan dan melestarikan pembangunan universiti tersebut bagi tahun ini, kata Naib Canselornya Prof Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Beliau berkata strategi tersebut merangkumi pelbagai aspek, termasuk peningkatan pengalaman pembelajaran pelajar, pembangunan bakat, kelestarian kewangan, serta usaha menjenamakan UPM di peringkat global.

“Lima strategi ini dirangka untuk memperkukuhkan teras universiti dan menghasilkan impak yang lebih bermakna.

“Fokus utama kami adalah pembangunan bakat kerana sumber manusia – sama ada staf, pelajar, atau warga universiti – merupakan elemen terpenting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat kepada warga kerja UPM di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa UPM akan terus bergerak maju dengan memberi perhatian kepada projek khas seperti keterjaminan makanan dan kesihatan planet.

"Selain itu, projek kesihatan planet juga akan menjadi fokus kerana UPM diiktiraf sebagai kampus hijau, dengan kekuatan dalam bidang perhutanan dan pertanian,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata usaha menjamin kesihatan planet melibatkan penyediaan satu blueprint sebagai panduan bagi penggubal kurikulum serta penyelidik yang dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.

“Seperti blueprint keterjaminan makanan yang kini dirujuk oleh universiti lain, kami harap blueprint kesihatan planet juga akan memberi impak besar,” katanya.

Dalam usaha mencapai kecemerlangan akademik, beliau berkata UPM tidak menetapkan sasaran khusus berdasarkan ranking, sebaliknya memberi penekanan kepada peningkatan berterusan.

“Mesej saya kepada ketua-ketua jabatan: apa sahaja yang anda lakukan, hasilnya mesti lebih baik daripada tahun lepas. Itu akan memastikan penambahbaikan berterusan,” katanya.

Ahmad Farhan berkata bahawa setiap inisiatif yang dilaksanakan UPM bertujuan memberi manfaat kepada masyarakat, sama ada secara langsung atau tidak langsung

"Pelajar akan kembali kepada masyarakat, dan pelbagai inisiatif seperti keterjaminan makanan dan pengukuhan komuniti tani adalah untuk menyelesaikan masalah masyarakat," katanya.

Sebagai tanda komitmen terhadap integriti dan ketelusan, beliau turut mengetuai warga kerja UPM dalam pembacaan Ikrar Bebas Rasuah hari ini.

Bacaan ikrar itu disaksikan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nazli Rasyid Sulong.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386354