GEORGE TOWN, 24 Jan (Bernama) -- Pencapaian Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) menjadi lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia pada 2024 membukti peranan Pulau Pinang yang semakin meningkat sebagai hab utama untuk pelancongan dan perniagaan, mencerminkan pemulihan kukuh negeri itu dalam era selepas pandemik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata jumlah penumpang LTAPP sebanyak 7.47 juta tahun lepas merupakan peningkatan 7.07 peratus berbanding 6.97 juta penumpang pada 2023 sejajar dengan pelaburan besar kerajaan negeri dalam sektor pelancongan sepanjang dua tahun lepas.
"Peningkatan dalam kekerapan penerbangan merupakan satu lagi peristiwa penting pada 2024 bilamana lapangan terbang itu merekodkan 565 penerbangan mingguan, menandakan peningkatan 8.03 peratus daripada 523 penerbangan pada 2023, sementara penerbangan antarabangsa khususnya, berkembang begitu ketara dengan 304 penerbangan antarabangsa mingguan pada 2024, peningkatan 17.37 peratus daripada 259 penerbangan pada tahun sebelumnya.
"Data ini mencerminkan ketersambungan Pulau Pinang yang semakin meningkat dan peranannya sebagai hab penerbangan di utara Malaysia, memenuhi permintaan tinggi untuk perkhidmatan udara di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wong juga menegaskan bahawa lapangan terbang itu juga mengalu-alukan 12 laluan antarabangsa terus baharu sejak Ogos 2023, menghubungkan Pulau Pinang ke bandar-bandar seperti Dubai, Shanghai, Xiamen, Hong Kong dan banyak lagi, seterusnya mengukuhkan kedudukan sebagai hab penerbangan untuk utara Malaysia.
Beliau mengambil maklum bahawa kedudukan strategik Pulau Pinang sebagai hab penerbangan wilayah utara, pusat pembuatan semikonduktor global dan destinasi utama untuk pelancongan perubatan telah menjadikannya pilihan utama bagi syarikat penerbangan untuk mengutamakan pembentukan penerbangan terus.
Beliau menekankan pertumbuhan Pulau Pinang sebagai pintu masuk antarabangsa utama, bersedia untuk meneruskan rancangan pembesaran lapangan terbang yang sedang berjalan dan dengan lebih banyak penerbangan terus dalam perancangan, termasuk laluan baharu ke Taiwan yang dijangka pada tahun ini, turut menyuntik tenaga baharu ke dalam industri pelancongan Pulau Pinang.
Sehingga kini, rangkaian laluan antarabangsa Pulau Pinang menghubungkan 20 bandar, termasuk Shanghai, Shenzhen, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Dubai, Singapura, Bangkok, Don Mueang, Phuket, Medan, Jakarta, Surabaya, Banda Aceh, Taipei, Ho Chi Minh City, Doha, Xi'an, Chennai dan Chongqing.
“Melihat ke hadapan, dengan pelaksanaan pelan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang secara beransur-ansur, saya percaya kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia akan diperkukuhkan lagi,” kata Wong.
Pada 19 Jan, data daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendedahkan bahawa LTAPP telah meningkat menjadi lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia pada 2024, di belakang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mengatasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan margin yang sedikit.
Mengikut data, KLIA mengekalkan kedudukan teratasnya dengan 366,895 pergerakan pesawat tahun lepas, diikuti PIA yang merekodkan 64,507, sedikit di hadapan KKIA 63,822, sementara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang mencatatkan 59,929 dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching 54,969.
-- BERNAMA