AM

Pahang Kuat Kuasa Larangan Guna Bekas Makanan Polistirena Bermula Julai

24/01/2025 08:12 PM

KUANTAN, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan Pahang akan menguatkuasakan larangan penggunaan bekas makanan polistirena bermula Julai depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang. 

Sim berkata keputusan yang ditetapkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri Rabu lepas itu antara lain bertujuan melindungi alam sekitar serta mengurangkan pencemaran plastik di negeri ini.

Beliau menyatakan larangan penggunaan bekas makanan berasaskan polistirena telah diperkenalkan sejak tahun 2019, namun masih terdapat segelintir pihak yang tidak mematuhi peraturan berkenaan, justeru kerajaan negeri telah bersetuju untuk memperkukuhkan pelaksanaan inisiatif itu secara menyeluruh pada tahun ini. 

"Kita telah tetapkan larangan penggunaan bekas makanan seperti pinggan, cawan dan pembungkus makanan polistirena, namun bagi kotak polistirena yang besar misalnya untuk mengisi ikan masih boleh dipakai.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Pahang akan menjalankan pemeriksaan dan memberi notis peringatan kepada premis yang masih menggunakan polistirena, tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak melanggar larangan ini selepas tarikh penguatkuasaan," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majis penyampaian sumbangan oleh Yayasan Petronas kepada individu kurang bernasib baik sempena Tahun Baharu Cina yang turut dihadiri Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Mohammad Ahmad Shazly Ramli. 

Mengulas lanjut, Sim berkata kerajaan negeri akan melancarkan kempen kesedaran awam di seluruh Pahang, antara lain bertujuan mendidik pengguna dan peniaga mengenai bahaya penggunaan polistirena serta keperluan beralih kepada bekas mesra alam.

Beliau turut menegaskan inisiatif itu dilaksanakan demi melindungi alam sekitar dan kesihatan rakyat, sejajar dengan usaha untuk mengurangkan sisa plastik serta mempromosikan penggunaan bahan alternatif yang lebih mesra alam. 

"Kami menyeru semua pihak, termasuk pengguna, peniaga, dan pengusaha industri, agar bersatu dalam usaha ini demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar," katanya. 

Sementara itu, Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum menyuarakan kebimbangannya terhadap kes pemerdagangan manusia melibatkan penduduk negara ini yang semakin serius dan berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya. 

Sejak 2021 sehingga kini, Sim memaklumkan beliau telah membawa pulang lebih 100 individu yang menjadi mangsa jenayah itu dari Myanmar dan menasihatkan supaya golongan muda tidak terpedaya dengan tawaran gaji lumayan oleh sindiket terbabit. 

 Sementara itu,  Mohammad Ahmad Shazly berkata sebanyak 2,100 keluarga kurang berkemampuan diraikan Yayasan Petronas menerusi Program Memacu Kehidupan Tahun Baharu Cina 2025 di seluruh negara termasuk 100 keluarga di Pahang yang menerima sumbangan bekalan makanan asas hari ini. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386431