PASARAN

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Berikutan Penurunan Dolar AS

24/01/2025 09:59 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Jumaat didorong penurunan dolar Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden AS Donald Trump menyarankan pengurangan kadar faedah.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen pasaran turut dirangsang oleh gesaan Trump supaya Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) meningkatkan bekalan minyak.

“Jika OPEC memenuhi gesaan itu, keadaan ini boleh mendorong Rizab Persekutuan AS mengurangkan kadar faedah lebih awal daripada jangkaan pasaran ketika ini, yang secara hakikinya menggalakkan harga emas susulan ketidakpastian berterusan mengenai dasar perdagangan Trump.

“Walaupun pendekatan beliau nampak kurang agresif berbanding yang dibimbangi pada awalnya, kemungkinan kenaikan tarif secara berperingkat kekal menjadi faktor yang menyokong harga emas,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penurunan dolar AS telah meningkatkan harga emas dengan menjadikan logam berharga itu lebih mampu dibeli oleh pelabur yang menggunakan mata wang lain.

Pembelian itu sangat tepat pada masanya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan kerana pembelian emas fizikal di Asia adalah tinggi ketika itu, katanya.

Kontrak bulan semerta Januari 2025 meningkat kepada US$2,777.0 setiap auns troy daripada US$2,743.50 pada Khamis manakala Februari 2025 naik kepada US$2,785.90 daripada US$2,752.50 setiap auns troy semalam.

Kontrak Mac 2025, April 2025, dan Jun 2025 masing-masing ditutup tinggi pada US$2,794.80 setiap auns troy daripada US$2,762.90 semalam.

Jumlah dagangan meningkat kepada 60 lot daripada 28 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 85 kontrak daripada 44 kontrak.

Berdasarkan penetapan petang Persatuan Pasaran Jongkong London pada 23 Januari, harga emas fizikal berada pada US$2,744.25 setiap auns troy.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386453