SUKAN

FAM Tunggu Kelulusan Kerajaan Bagi Empat Pemain Warisan Baharu

25/01/2025 11:20 AM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini sedang menunggu lampu hijau daripada Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan kerakyatan bagi empat pemain warisan baharu Harimau Malaya.

FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya juga dalam proses melengkapkan dokumentasi bagi empat pemain lain.

“FAM berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan dalam usaha meningkatkan mutu pasukan Harimau Malaya,” kata kenyataan berkenaan.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan bahawa enam hingga tujuh pemain warisan telah dikenal pasti untuk mewakili Malaysia.

Justeru, Tunku Mahkota Ismail berharap kerajaan dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia agar pemain berkenaan dapat bermain untuk skuad Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai Mac ini.

Skuad kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih baharu Peter Cklamovski akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan aksi pertama Kumpulan F menentang Nepal pada 25 Mac 2025.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386536