KafeBasikalTua bukan sebarang kafe. Di kelilingi kehijauan taman, kafe bersebelahan bangunan dua tingkat yang dahulunya pejabat dan studio pereka bentuk landskap Raja Iskandar Datuk Raja Mansur, melalui proses transformasi dipacu oleh rasa empati beliau kepada golongan kurang upaya, terutama yang buta.
Mengambil masa beberapa tahun untuk siap, kafe di Sungai Penchala, Selangor ini dioperasikan dengan dibantu oleh Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk Raja Iskandar sendiri yang mengalami kehilangan upaya akibat strok.
“Saya alami strok yang melumpuhkan saya pada Disember 2014. Sebagai terapi fizikal dan mental, saya lakukan kerja-kerja menghias serta mmpercantikkan premis ini dengan hasrat menjadikannya kafe yang bukan sahaja mesra buat golongan ini tetapi juga menyumbang kepada ekonomi mereka.
“Idea ini tercetus daripada persahabatan saya dengan golongan ini, terutamanya juruterapi cacat penglihatan yang mengurut saya semasa peringkat pemulihan serta kesukaran saya sendiri menyedarkan saya tentang kepayahan yang dihadapi oleh mereka dalam menjalani kehidupan sehari-hari,” katanya kepada Bernama.
Menurut usahawan berusia 58 tahun ini, beliau berusaha mengubah landskap kawasan tersebut menjadi sebuah taman yang dapat menyejukkan mata dan menenangkan jiwa bagi yang ingin lari daripada kesibukan kota.
NASI GANJA
Satu daripada ciri yang menyerlahkan keunikan KafeBasikalTua ini ialah komitmen pengusahanya kepada komuniti ini.
“Kafe ini dibuka kira-kira tiga tahun lalu dan semua yang terlibat dalam operasi - mereka bukan pekerja, tetapi ahli pasukan saya merupakan ahli keluarga OKU serta golongan ibu tunggal. Mereka masak, sediakan servis dan sebagainya,” jelas beliau lagi.
Oleh sebab itu jugalah sebaik-baiknya orang ramai membuat tempahan beberapa hari lebih awal sebelum datang bagi membolehkan mereka melakukan persiapan kerana kesemua hidangan itu disediakan oleh mereka di kediaman masing-masing.
“Kena tempah awal kerana kami perlukan lebih masa untuk menyiapkan segala-galanya.
“Hidangan kami termasuk pelbagai jenis nasi seperti nasi kerabu, nasi dagang, nasi kukus serta pelbagai kuih-muih. Antara yang paling dicari pelanggan ialah nasi ganja, iaitu nasi seakan-akan nasi kandar” ujarnya, menambah kafe dibuka untuk makan tengah hari dan hi-tea.
Selain itu, semua makanan juga dihidangkan dalam mangkuk tingkat yang diperbuat daripada aloi.
“Kenapa guna tiffin (mangkuk tingkat)? Ini trademark kita, ala-ala berkelah selain kaedah ini lebih bersih. Lebih-lebih lagi makanan ini kita ambil dari rumah ‘keluarga’ pasukan kita, bukan disediakan di sini. Kita juga tidak gunakan (bekas) plastik kerana kami anjurkan konsep mesra alam sekitar,” katanya.
Selain itu, kafe ini menawarkan kek yang diperbuat daripada buah-buahan untuk majlis-majlis tertentu seperti hari jadi, hasil kerja tangan OKU.
HIASAN DALAMAN KLASIK
Melangkah masuk ke dalam kafe ini mata pastinya tertumpu pada hiasan dalaman yang klasik. Pelbagai barangan lama milik Raja Iskandar digemblengkan sebagai hiasan, antaranya mangkuk tingkat berusia lebih 100 tahun milik neneknya.
Turut dipamerkan telefon lama, buku serta mesin jahit klasik.
“Setiap barang yang dipamerkan ada cerita masing-masing. Kafe ini merupakan gabungan perca-perca memori saya semasa membesar, sejarah keluarga saya. Setiap inci kafe ada kaitan dengan saya,” katanya.
Malah katanya, bahan binaan kafe itu juga berasal daripada rumah-rumah lama seperti pagar utama yang diperbuat daripada pintu sebuah rumah kerajaan lama di Seremban, sementara tingkap-tingkap pula datang daripada sebuah rumah lama di Pulau Pinang.
“Bagi saya, tempat ini bukan sekadar kafe tetapi satu bukti tentang kuasa daya tahan, baik seorang individu ataupun masyarakat. Kafe ini simbol, bagaimana menerusi kreativiti, walaupun ketika berdepan situasi paling mencabar, kita boleh bingkas dan menghasilkan sesuatu yang indah dan bermakna,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, kafe ini juga menjadi wahana golongan tersebut menjual kraf yang dihasilkan mereka seperti kain alas kaki dan sebagainya.
Di luar kafe pula, rimbunan pepohon termasuk pokok bunga hiasan dan palma memenuhi ruang laman, menawarkan ketenangan kepada pengunjung sambil menikmati hidangan, sekali gus mendekatkan mereka dengan alam semula jadi.
BUKAN KEJAR KEUNTUNGAN
Jika kebanyakan usahawan memperoleh kepuasan apabila mencatat keuntungan besar, bagi Raja Iskandar, ganjaran sebenar datang daripada kejayaannya memberi manfaat kepada orang lain.
“Ukuran sebenar sesebuah kejayaan ialah saya dapat mengubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik. Bagi saya itu ganjaran sebenar, bukan keuntungan dari segi kewangan,” katanya.
Mereka yang menerima manfaat daripada usahanya termasuk Mohamad Azman yang berperanan sebagai pembantu logistik dan juga pembantu jurubeli barang. Sebagai individu dengan masalah pembelajaran, lelaki ini menghabiskan masa lima tahun untuk mendapatkan pekerjaan namun sia-sia.
“Melalui kerjasama dengan kafe ini, dia sekarang ada kerja dan sumber pendapatan. Selain itu, dia juga berasa dihargai kerana diberikan tanggungjawab yang dapat memupuk rasa bangga dalam dirinya,” kata Raja Iskandar.
Pakar pastri Puan Noraisah Ismail, 62 pula individu lembam yang memainkan peranan penting di dapur, menyediakan pelbagai jenis biskut dan kudap-kudapan untuk pelanggan. Wanita ini juga terlibat dalam penghasilan kraf yang dijual di kafe itu.
Ahli pasukan yang lain termasuk Puan Zarina Kamal yang menguruskan dapur serta mempunyai ahli keluarga OKU; Puan Kamariah Yusof yang menyelia penglibatan ibu tunggal selain Puan Rosminah Kamsi dan Puan Zuhairah Ali.
Menyifatkan mereka semua sebagai sebuah keluarga besar, Raja Iskandar berkata beliau hanya “konduktor” yang memimpin sebuah “orkestra” istimewa.
Ditanya tentang asal nama KafeBasikalTua pula, beliau berkata idea untuk menamakan kafe itu sedemikian muncul selepas beliau melihat penggunaan basikal yang meluas semasa penularan COVID-19.
“Masa itu saya tengok ramai naik basikal, mungkin untuk beriadah ataupun ke satu-satu tempat. Dari situ terlintas nak gunakan nama basikal tua,” ujarnya.
-- BERNAMA