AM

MOTAC Promosi Budaya Sarapan Malaysia Melalui Program Dianjurkan

25/01/2025 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus memartabatkan budaya sarapan dan makanan warisan negara melalui program-program yang dianjurkan, bagi memastikan ia terus dipromosikan serta dihargai menerusi pelbagai acara sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata usaha ini adalah amat penting, terutamanya selepas budaya sarapan Malaysia diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun lalu.

“Kita akan mengintegrasikan elemen makanan tradisional dalam program-program tersebut, termasuk sambutan Hari Kebangsaan. Tidak lama lagi, kita juga akan mengadakan Pesta Angin Timur di Perlis, yang turut menampilkan elemen makanan warisan.

"Begitu juga dengan program-program lain, kami akan terus menyelitkan unsur makanan warisan, kebudayaan, dan kesenian bagi mempromosikan keunikan warisan kita,” katanya dalam sidang media program Budaya Sarapan Malaysia: Sarapan Negeri Warisan Negara anjuran UTM (Universiti Teknologi Malaysia) Hotel and Residence bersama MOTAC serta Jabatan Warisan Negara (JWN) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JWN Mohamad Muda Bahadin dan Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.

Mengenai program Budaya Sarapan Malaysia hari ini, Shaharuddin berkata ia merupakan platform terbaik untuk mengetengahkan keistimewaan budaya sarapan dan juadah warisan negara, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Budaya sarapan tradisional Malaysia, terutamanya hidangan ikonik seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik, telah diiktiraf oleh UNESCO tahun lalu. Jadi kita mengalu-alukan program-program seperti yang dilakukan oleh UTM dan Jabatan Warisan Negara,” katanya.

Justeru, beliau berharap pelbagai pihak dapat bekerjasama dalam mempromosikan makanan warisan negara, agar ia terus dikenali oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa, serta terpelihara daripada hilang ditelan zaman.

Pada 5 Dis lepas, budaya sarapan di Malaysia mendapat tempat dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386555